KLANG, 20 JUN: Usaha memelihara dan memulihkan sungai bukan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak demi kelestarian alam sekitar.
Datuk Bandar Klang berkata sungai merupakan aset berharga yang menjadi sumber air dan habitat kepada hidupan akuatik, selain menyokong aktiviti ekonomi, rekreasi dan kesejahteraan masyarakat.
Bagaimanapun, Dato' Abdul Hamid Hussain menegaskan pembangunan pesat bandar, peningkatan populasi dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat memberi tekanan kepada ekosistem sungai.

"Bagaimanapun, pertumbuhan ini membawa kesan negatif kepada alam sekitar seperti pencemaran sungai dan banjir sekiranya tidak dijaga dengan baik.
"Pencemaran bukan sahaja di pesisir sungai, malahan dalam sungai itu sendiri di sepanjang ia mengalir," katanya ketika berucap merasmikan Program Cintai Sungai Klang di pekan Kapar, hari ini.
Program anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai inisiatif berterusan meningkatkan kesedaran alam sekitar dan mengukuhkan penglibatan komuniti bagi kelestarian Sungai Klang.
Dianggarkan 300 peserta mengambil bahagian antaranya sukarelawan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), ahli majlis MBDK, wakil institusi pendidikan, persatuan penduduk dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata program pembersihan tersebut dilaksanakan sejak 2024 dan salah satu inisiatif berterusan bawah Pelan Tindakan Cintai Sungai Klang MBDK 2035.
Menurutnya, usaha tersebut sejajar Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), dengan MBDK menjadi PBT pertama yang menghasilkan pelan tindakan khusus bagi pemulihan sungai.
"Justeru, besarlah harapan kami supaya sahabat PBT yang lain juga mempunyai pelan cadangan pembangunan pesisir sungai bagi peringkat permulaan pembersihan Sungai Klang," katanya.
Pelan tersebut pernah dinobatkan tempat pertama bagi Anugerah Malaysia Scroll of Honour Award 2025 kategori Organisasi Cemerlang dalam Tindak Balas Krisis Bandar.
Untuk rekod, Sungai Klang sepanjang 120 kilometer, meliputi kawasan aliran dari Kuala Lumpur, Gombak, Ampang, Petaling Jaya, Shah Alam dan berakhir di Klang.










