LRT3 Shah Alam pilihan keluarga hujung minggu, nikmati perjalanan percuma

5 Jul 2026, 6:21 AM
LRT3 Shah Alam pilihan keluarga hujung minggu, nikmati perjalanan percuma
LRT3 Shah Alam pilihan keluarga hujung minggu, nikmati perjalanan percuma
LRT3 Shah Alam pilihan keluarga hujung minggu, nikmati perjalanan percuma
LRT3 Shah Alam pilihan keluarga hujung minggu, nikmati perjalanan percuma
LRT3 Shah Alam pilihan keluarga hujung minggu, nikmati perjalanan percuma

SHAH ALAM, 5 JULAI: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam terus menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu pertama operasinya apabila keluarga, pelajar dan penduduk mengambil peluang menikmati perjalanan percuma yang ditawarkan kerajaan sehingga 31 Julai.

Suasana di Stesen Glenmarie 2 pagi semalam menyaksikan aliran penumpang yang berterusan apabila ramai memilih menaiki perkhidmatan baharu itu sambil meluangkan masa bersama keluarga.

Tawaran tambang percuma selama sebulan turut menarik penumpang daripada pelbagai lapisan umur sekali gus mewujudkan suasana meriah di stesen yang menjadi antara laluan baharu dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang.

Kakitangan swasta, Lee Lyn berkata, LRT3 menjadi pilihan sesuai untuk keluarga meluangkan masa bersama sambil meneroka pelbagai destinasi sepanjang laluan yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang.

Lee Lynn ketika tinjauan orang ramai menggunakan LRT3 di Stesen Glenmarie 2 pada 4 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Ia peluang yang sangat baik untuk keluarga. Tambang percuma selama sebulan menjadikan perancangan untuk keluar bersama keluarga mampu dilakukan sambil merasai pengalaman menggunakan laluan baharu ini," katanya.

Suaminya, Mohd Haziq Hamzah berkata keluarganya mengambil kesempatan menggunakan LRT3 sepanjang tempoh promosi walaupun belum menetapkan destinasi dituju.

"Semua patut mencubanya sementara masih percuma bulan ini," katanya.

Menjelang tengah hari, tren semakin sesak apabila jumlah penumpang terus meningkat termasuk pengguna kerusi roda.

Lee Lynn bersama keluarga ketika tinjauan orang ramai menggunakan LRT3 di Stesen Glenmarie 2 pada 4 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Di beberapa stesen, terdapat penumpang terpaksa menunggu beberapa tren sebelum dapat menaiki perkhidmatan berkenaan.

Walaupun keadaan semakin ramai, suasana kekal meriah apabila keluarga, golongan muda dan penduduk sekitar menjadikan pengalaman menaiki LRT3 seperti aktiviti hujung minggu bersama.

Pekerja khidmat pelanggan, Siti Nurul Ajilah Ayob yang menaiki tren bersama suami dan dua anaknya di Stesen Kerjaya berkata, tawaran perjalanan percuma mendorong lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka mencuba pengalaman baharu itu.

"Saya rasa ramai datang hari ini (semalam) ialah ibu bapa yang membawa anak-anak merasai pengalaman ini sementara ia masih percuma," katanya.

Siti Nurul Ajilah Ayob ketika tinjauan orang ramai menggunakan LRT3 di Stesen Glenmarie 2 pada 4 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagi penyelia gudang, Khoo Teck Chuan pembukaan LRT3 memudahkan orang ramai bergerak ke pelbagai lokasi termasuk Kuala Lumpur selain menyediakan akses lebih mudah ke pusat beli-belah dan lokasi tarikan sepanjang laluan.

Pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia 28 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan LRT3 Shah Alam dan bas perantaranya, bermula 29 Jun hingga 31 Julai.

Khoo Teck Chuan ketika tinjauan orang ramai menggunakan LRT3 di Stesen Glenmarie 2 pada 4 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

LRT3 Laluan Shah Alam merupakan pelaburan strategik kerajaan bernilai RM16.63 bilion bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Johan Setia dan Bandar Utama menerusi 20 stesen.

Tinjauan orang ramai menggunakan LRT3 di Stesen Glenmarie 2 pada 4 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.