PHILADELPHIA, 5 JULAI: Sepakan penalti Kylian Mbappe pada babak kedua menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat Perancis ke atas Paraguay dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia pagi tadi sekali gus mara ke suku akhir.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Philadelphia, kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan sebelum Perancis dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-70.
Keputusan itu dibuat selepas pengadil meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesahkan pemain gantian Perancis, Desire Doue, dijatuhkan Diego Gomez ketika melakukan larian ke dalam kotak penalti.
Mbappe tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan kepada juara dunia 2018 itu.
Jaringan berkenaan merupakan gol ketujuh Mbappe pada kempen Piala Dunia kali ini, sekali gus menyamai jumlah jaringan kapten Argentina, Lionel Messi, sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.
Perancis dijadual berdepan Maghribi pada aksi suku akhir yang akan berlangsung di Stadium Boston, Foxborough, awal pagi Jumaat ini.







