KANSAS CITY, 12 JULAI: Julian Alvarez menjaringkan gol menakjubkan ketika Argentina bangkit menewaskan Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain 3-1 selepas masa tambahan, sekali gus menempah pertembungan epik menentang England pada separuh akhir Piala Dunia 2026.
Penyokong Argentina menguasai sebahagian besar tempat duduk di Stadium Arrowhead dan mula meraikan seawal minit ke-10 apabila kapten, Lionel Messi mencipta peluang untuk Alexis Mac Allister membuka tirai jaringan.
Namun Switzerland menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua menerusi Dan Ndoye sebelum malang menimpa apabila Breel Embolo dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana simulasi.
Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan dan Switzerland bertahan daripada serangan bertali arus Argentina sehingga Alvarez muncul dengan detik magis apabila meledakkan rembatan lencong ke penjuru atas gawang pada minit ke-112.
Lautaro Martinez kemudian melengkapkan kemenangan Argentina dengan jaringan ketiga pada penghujung perlawanan.
Kemenangan sengit skuad kendalian Lionel Scaloni itu memastikan empat pasukan teratas ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan berentap di separuh akhir kejohanan kali ini.
Argentina kini tidak tewas dalam 12 perlawanan terakhir Piala Dunia ketika memburu kejuaraan kedua berturut-turut, sesuatu yang hanya pernah dilakukan Brazil pada 1962.
Juara bertahan itu mengharungi saingan peringkat kumpulan dengan cemerlang, namun berdepan kesukaran ketika menewaskan Cape Verde dan memerlukan kebangkitan luar biasa untuk mengatasi Mesir.
Aksi menentang Switzerland sekali lagi menjadi ujian fizikal buat Argentina ketika lawan mereka memburu penampilan pertama di separuh akhir Piala Dunia.
Argentina membuka jaringan menerusi peluang pertama tepat ke sasaran apabila Mac Allister menanduk masuk hantaran sepakan sudut Messi sambil mengatasi Djibril Sow dan Embolo.
Gol itu menyaksikan Messi mencatat 10 bantuan gol sepanjang enam edisi Piala Dunia, selain terus berkongsi kedudukan teratas carta penjaring terbanyak dengan lapan gol bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe.
Bagaimanapun, Messi gagal menambah jaringan dalam perlawanan itu, lapor Harian Metro.
Switzerland bergelut untuk mencipta peluang tetapi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-30 apabila penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, pantas keluar menafikan percubaan Embolo.
Argentina gagal menambah percubaan tepat sebelum rehat, malah Switzerland lebih banyak menguasai hantaran berbanding juara dunia itu.
Separuh masa kedua bermula perlahan sebelum Switzerland meningkatkan tekanan dan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-67 menerusi Ndoye yang menyudahkan hantaran bijak Ricardo Rodriguez.
Namun hanya lima minit kemudian, Switzerland melakukan kesilapan besar apabila Embolo yang sudah menerima kad kuning pada separuh masa pertama sengaja menjatuhkan diri dan dibuang padang selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Argentina hampir mencipta gol kemenangan apabila tandukan Mac Allister tersasar ketika gawang terbuka, manakala Messi turut melepaskan percubaan lencong yang sipi daripada sasaran.
Switzerland bertahan sehingga tamat 90 minit untuk memaksa masa tambahan.
Mereka terus menahan gelombang serangan Argentina pada separuh masa pertama masa tambahan tetapi benteng itu akhirnya runtuh menerusi jaringan ajaib Alvarez.
Kemenangan itu diraikan seluruh kem Argentina sebelum Lautaro Martinez menambah gol ketiga beberapa minit kemudian.
Argentina akan memberi tumpuan kepada cabaran England di Atlanta, awal pagi Khamis selepas pasukan kendalian Thomas Tuchel menyingkirkan Norway 2-1 menerusi masa tambahan.
Pertembungan England dan Argentina sentiasa sarat dengan sejarah serta kontroversi selain dibayangi pertikaian kedaulatan Kepulauan Falkland yang dikenali Argentina sebagai Malvinas.
Pada Piala Dunia 1986, Argentina menewaskan England 2-1 di Stadium Azteca menerusi dua gol legenda Diego Maradona - jaringan kontroversi 'Tangan Tuhan' dan gol solo yang dianggap antara terbaik sepanjang zaman.
Kedua-dua pasukan bertemu dua kali lagi dalam Piala Dunia selepas itu.
Argentina menang menerusi penentuan penalti pada 1998 sebelum England membalas dendam empat tahun kemudian.








