Pekerja warga asing dalang pembuangan sampah haram di Jalan Kota Raja 27/F

6 Jul 2026, 1:00 AM
Pekerja warga asing dalang pembuangan sampah haram di Jalan Kota Raja 27/F
Pekerja warga asing dalang pembuangan sampah haram di Jalan Kota Raja 27/F
Pekerja warga asing dalang pembuangan sampah haram di Jalan Kota Raja 27/F

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kegiatan pembuangan sampah secara haram di Jalan Kota Raja 27/F, Kota Raja, Seksyen 27 di sini masih berlarutan walaupun kawasan berkenaan telah dibersihkan dan ditutup oleh KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusan KDEBWM, Dato' Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menerima aduan berulang mengenai sampah yang kembali dilonggokkan di kawasan komersial itu, dipercayai didalangi pekerja warga asing dari premis berhampiran.

“Setiap kali kami menerima aduan, pasukan KDEBWM akan turun membuat kutipan. Namun, pemeriksaan mendapati sehari selepas kawasan dibersihkan, sampah kembali dibuang secara haram di lokasi sama.

“Sehingga tengah hari tadi (Sabtu), kegiatan itu masih berlaku walaupun KDEBWM telah menutup (seal) kawasan berkenaan bagi menghalang pembuangan sampah,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata KDEBWM turut mencadangkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Ahli Majlis Zon 10, Wan Shaharuddin Shah Ismail agar kamera litar tertutup (CCTV) dipasang bagi membendung kegiatan berkenaan.

“Namun sehingga kini pihak berkuasa tempatan itu masih belum memberikan maklum balas berhubung cadangan pemasangan CCTV berkenaan.

“Kami juga menggesa penduduk serta pemilik premis di sekitar Jalan Kota Raja 27/F menyalurkan gambar atau bukti kegiatan pembuangan sampah haram kepada KDEBWM bagi membantu tindakan susulan terutama kutipan,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengguna Threads dikenali sebagai ckl_image memuat naik gambar dan mendakwa timbunan sampah di kawasan itu mencecah paras bumbung di premis kawasan tersebut.

Longgokan sampah haram masih dikesan di Jalan Kota Raja 27/F, Kota Raja, Seksyen 27, Shah Alam walaupun lokasi berkenaan telah ditutup oleh KDEBWM.

“Setiap hari saya perlu berjalan kaki melalui kawasan ini untuk pergi kerja, dengan bau terpaling busuk, menjadi tempat makanan untuk burung gagak serta anjing, sampah sarap bertaburan di dalam longkang,” menurut perkongsian itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berkata MBSA sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kegiatan pembuangan sampah haram berkenaan dan akan mengeluarkan kompaun jika terbukti mereka terlibat.

“Ini bukan perangai dan tindakan keji satu hingga dua orang penghuni tetapi melibatkan ramai penghuni tidak kira warga tempatan mahupun warga asing.

“Ada beberapa sisa bungkusan parcel yang turut dijumpai dalam longgokan sampah. Mungkin mereka ini antara yang terlibat membuang secara haram,” katanya menerusi Threads.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.