Sejak memasuki pusingan kalah mati. saya dan Mukhriz hampir tidak pernah terlepas menonton Piala Dunia bersama. Semalam (30 Jun) kami melihat Jerman tewas kepada Paraguay, Maghribi pula menewaskan Belanda.
Pagi ini (1 Julai) kami bangun sebelum Subuh untuk menyaksikan Perancis bertemu Sweden Seperti biasa, perbualan kami tidak berhenti pada soal taktikal atau siapa patut menjadi kapten.
Mukhriz bertanya, "Papa, kenapa pemain-pemain Eropah sekarang ramai yang berketurunan Afrika atau Arab (Timur Tengah)?"
Saya tersenyum. Soalan itu sebenarnya bukan tentang bola sepak. Ia tentang sejarah dunia.
Saya membesar dengan menyaksikan skuad Jerman yang hampir semuanya berwajah Aryan. Belanda yang majoritinya berambut perang dan Sweden yang hampir keseluruhannya berketurunan Nordic.
Hari ini, wajah Eropah sudah berubah. Bukan kerana bola sepak berubah tetapi kerana sejarah telah mengubah manusia.
Kolonialisme membawa kuasa Eropah ke Afrika, Asia dan Caribbean. Apabila empayar kolonial runtuh selepas Perang Dunia II. Berlaku pula gelombang penghijrahan besar-besaran.

Bekas tanah jajahan menjadi sumber tenaga kerja, pelajar, pelarian dan akhirnya warga negara baharu. Anak-anak mereka lahir sebagai rakyat Perancis, Belanda, England atau Jerman.
Padang bola akhirnya menjadi cermin kepada perubahan itu.
Lihat sahaja Zinedine Zidane. Beliau ialah anak kepada pendatang Algeria, sebuah negara yang pernah dijajah Perancis selama lebih satu abad. Ketika beliau mengemudi Perancis muncul juara Piala Dunia 1998.
Ramai ahli sosiologi menganggap kemenangan itu sebaga simbol sebuah Perancis moden yang lahir daripada kepelbagaian sejarahnya.
Begitu juga Patrick Vieira dari Senegal, Marcel Desailly dari Ghana dan hari ini Kylian Mbappé yang mempunyai warisan Cameroon serta Algeria.
Belanda pula pernah memiliki Ruud Gullit dan Frank Rijkaard yang berakar dari Suriname, manakala Jerman melahirkan Mesut Özil, anak kepada keluarga imigran Turki.
Semasa melihat seorang pemain Sweden bernama Ali yang berwajah Somalia, saya dan Mukhriz ketawa seketika. Namun saya berkata kepadanya, "Apa yang kita lihat hari ini bukan kebetulan. Ia adalah sejarah yang sedang bermain selama 90 minit."
Ahli sains politik Benedict Anderson menyifatkan negara sebagai 'imagined community' - sebuah komuniti yang dibentuk oleh rasa kebersamaan. Bukan semata-mata keturunan.
Sebaliknya, Samuel P f Huntington mengingatkan identiti budaya tetap menjadi asas penting kepada sesebuah negara. Dua pandangan ini masih diperdebatkan sehingga hari ini.
Sebab itu isu kewarganegaraan kembali hangat di Amerika Syarikat. Perdebatan mengenai hak kewarganegaraan berdasarkan tempat lahir (birthright citizenship) bukan sekadar soal undang-undang.
Ia sebenarnya menyentuh persoalan lebih besar: Siapakah yang layak dipanggil rakyat? Adakah identiti dibentuk oleh darah keturunan, tempat lahir, budaya atau kesetiaan kepada negara?
Menariknya, Piala Dunia tidak memberikan iawapan. Sebaliknya, ia memaparkan realiti dunia moden yang sedang bergelut mencari keseimbangan antara sejarah, migrasi dan identiti nasional
Mungkin itulah sebabnya bola sepak sentiasa menjadi lebih daripada sekadar sukan. Setiap jersi yang dipakai membawa kisah penjajahan, penghijrahan, asimilasi harapan dan cita-cita sebuah negara
Hakikatnya, sukan tidak pernah terpisah daripada sejarah dan politik. Sembilan puluh minit di atas padang sebenarnya membawa bersama ratusan tahun sejarah manusia daripada era kolonialisme, penghijrahan besar-besaran, pembentukan negara moden hinggalah kepada perdebatan mengenai sempadan, kewarganegaraan dan identiti pada abad ke-21.
Kadangkala, daripada sekadar menonton bola bersama anak, kita akhirnya belajar bahawa Piala Dunia bukan hanya pertandingan juara. Ia juga sebuah kelas mencari sejarah, sosiologi dan geopolitik yang berlangsung di atas padang.




