Longkang terus dipenuhi sampah, ADN Kajang gesa tindakan menyeluruh elak bazir wang rakyat

3 Jul 2026, 12:00 PM
Longkang terus dipenuhi sampah, ADN Kajang gesa tindakan menyeluruh elak bazir wang rakyat
Longkang terus dipenuhi sampah, ADN Kajang gesa tindakan menyeluruh elak bazir wang rakyat
Longkang terus dipenuhi sampah, ADN Kajang gesa tindakan menyeluruh elak bazir wang rakyat

SHAH ALAM, 3 JULAI: Masalah longkang yang terus dipenuhi sampah, minyak dan pelbagai sisa lain di kawasan Bandar Bukit Mahkota Cheras (BBMC) dan Sungai Long sehingga memerlukan kerja pembersihan berulang kali disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat yang perlu ditangani segera.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata, keadaan itu berlarutan hampir tiga tahun walaupun beliau sudah berkali-kali turun padang meninjau lokasi berkenaan, namun masalah sama terus berulang.

"Saya sudah turun berkali-kali sejak menjadi wakil rakyat hampir tiga tahun lalu, tetapi masalahnya tetap sama. Longkang masih dipenuhi sampah, air kotor, minyak dan pelbagai sisa lain.

"Takkan setiap kali ada masalah, wakil rakyat perlu turun padang tetapi keadaannya masih kotor dan tersumbat. Saya juga tertanya-tanya sampai bila perkara ini akan berterusan," katanya kepada Media Selangor.

Keadaan longkang yang dipenuhi sampah dan pelbagai sisa sehingga mengganggu aliran air. Foto Facebook David Cheong

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan kawasan, malah menyebabkan kerja pembersihan perlu dilakukan berulang kali sehingga menelan kos ribuan ringgit bagi setiap operasi.

"BBMC memang tidak mengalami banjir kilat, tetapi longkang yang tersumbat menyebabkan air bertakung dan mengeluarkan bau. Di Sungai Long pula berlaku limpahan air dari longkang ke atas jalan," katanya.

Sehubungan itu, David memaklumkan beliau telah menghantar surat kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bagi memohon campur tangan Kerajaan Negeri untuk menyelaras tindakan semua agensi berkaitan.

Katanya, salinan surat itu turut dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib dengan harapan satu mesyuarat dapat diadakan bagi mencari penyelesaian menyeluruh.

"Hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun masalah yang sama masih berlaku, tetapi semua orang buat senyap dan tidak mengambil tindakan," tegasnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong meninjau keadaan longkang yang didakwa sering tersumbat sehingga memerlukan kerja pembersihan berulang kali di Bandar Bukit Mahkota Cheras (BBMC). Foto Facebook David Cheong

Menurut beliau, semua agensi berkaitan perlu duduk semeja bagi mengenal pasti punca sebenar dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang supaya isu berkenaan tidak terus berulang.

"Saya minta semua pihak berkaitan duduk semeja dan selesaikan isu ini sekali untuk selama-lamanya. Kalau tidak, setiap kali berlaku masalah kita terpaksa memanggil lori penyedut dan membayar kos pembersihan yang mencecah beberapa ribu ringgit.

"Semua itu menggunakan wang pembayar cukai. Sebagai wakil rakyat, saya hanya boleh turun padang dan membangkitkan masalah, tetapi tindakan penyelesaian memerlukan kerjasama semua agensi terlibat," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.