Puntung rokok sisa kecil tapi ancaman besar kepada alam sekitar, saliran

19 Jun 2026, 7:00 AM
Puntung rokok sisa kecil tapi ancaman besar kepada alam sekitar, saliran
Puntung rokok sisa kecil tapi ancaman besar kepada alam sekitar, saliran
Puntung rokok sisa kecil tapi ancaman besar kepada alam sekitar, saliran

SHAH ALAM, 19 JUN: Puntung rokok yang dibuang sembarangan bukan sahaja mencemarkan kawasan awam dan menjejaskan keselesaaan orang ramai, malah boleh menyumbat sistem saliran dan meningkatkan kos pembersihan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir berkata walaupun bersaiz kecil, ia memberi kesan besar kepada kebersihan persekitaran apabila dibuang tanpa rasa tanggungjawab.

"Puntung rokok ini kecil sahaja tetapi apabila dibuang merata-rata di bawah meja, tepi tangga, kaki lima, longkang atau kawasan parkir, ia tetap menjadi sampah yang mencemarkan persekitaran.

"Kalau jumlahnya banyak dan berulang setiap hari, ia bukan sahaja menyakitkan mata memandang malah menyukarkan kerja pembersihan," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, masalah itu sering berlaku di kawasan komersial dan premis makanan kerana masih terdapat individu yang merokok di tempat awam walaupun larangan merokok telah dikuatkuasakan.

Katanya, isu puntung rokok tidak boleh dilihat sebagai masalah kebersihan semata-mata kerana ia turut berkait dengan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan awam.

"Undang-undang sudah ada dan papan tanda larangan merokok juga telah dipasang, tetapi jika tiada penguatkuasaan yang konsisten, orang tidak akan takut.

"Kita masih melihat individu merokok di kedai makan, hospital, perhentian bas dan pelbagai kawasan awam lain. Kesedaran sivik dalam perkara ini perlu terus dipertingkatkan,” ujarnya.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Longkang tersumbat, kos pembersihan meningkat

Ramli berkata, puntung rokok yang dibuang ke dalam longkang atau sistem saliran boleh berkumpul bersama daun, pasir dan sisa lain sehingga menghalang aliran air.

"Apabila puntung rokok masuk ke longkang, ia boleh bercampur dengan sampah lain dan akhirnya menyebabkan laluan air tersumbat.

“Dalam jangka panjang, keadaan ini berpotensi menyumbang kepada masalah takungan air dan banjir kilat di kawasan tertentu," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan pengurusan sisa puntung rokok memerlukan tenaga kerja tambahan kerana pekerja pembersihan perlu mengutip satu demi satu sisa berkenaan yang berselerak di pelbagai lokasi.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung menambah beban operasi pembersihan yang sepatutnya boleh ditumpukan kepada tugas lain yang lebih produktif.

"Kalau setiap orang lebih bertanggungjawab terhadap sampah yang mereka hasilkan, kerja pembersihan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan kos pengurusan juga dapat dikurangkan," tegas beliau.

Ramli berkata KDEBWM sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), sekolah, persatuan penduduk, badan pengurusan bersama (JMB) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan kempen kesedaran berkaitan kebersihan awam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha menjaga kebersihan tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk perokok, peniaga dan pengguna.

"Bandar yang bersih bukan hanya tanggungjawab PBT atau KDEBWM tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

"Kalau setiap individu mengambil sikap bertanggungjawab dan tidak membuang puntung rokok sesuka hati, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selesa dan sihat untuk semua," katanya.

Puntung rokok merupakan antara sisa paling banyak ditemui dalam operasi pembersihan di seluruh dunia, selain menyumbang kepada pencemaran mikroplastik di darat dan perairan. Gambar hiasan AI

Penguatkuasaan terus dipergiat

Sementara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM60,000 menerusi 1,200 kompaun yang dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan pembuangan sampah termasuk puntung rokok sepanjang tahun lalu.

Datuk Bandarnya Dato' Amirul Azizan Abd Rahim berkata, sehingga Mei lalu sebanyak 602 kes direkodkan hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan pentadbiran MBSJ.

"Bagi tempoh Januari hingga April sahaja, sebanyak 499 tindakan penguatkuasaan direkodkan dengan kawasan Subang Jaya mencatat jumlah tertinggi iaitu 342 kes.

"Statistik ini menunjukkan isu pembuangan sampah termasuk puntung rokok di kawasan awam masih berlaku dan memerlukan penguatkuasaan berterusan selain usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran," katanya.

Untuk rekod, kebanyakan rokok moden menggunakan penapis diperbuat daripada selulosa asetat, sejenis bahan berasaskan plastik yang boleh kekal dalam persekitaran selama bertahun-tahun selepas dibuang.

Menurut Ocean Care, puntung rokok merupakan antara sampah paling banyak ditemui dalam operasi pembersihan di seluruh dunia dan menjadi penyumbang utama pencemaran plastik.

Apabila terurai, penapis rokok boleh menghasilkan mikroplastik serta melepaskan bahan kimia berbahaya ke dalam tanah dan sumber air, sekali gus memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar.

Mengikut data, sebanyak 6.5 trilion batang rokok dibeli setiap tahun di seluruh dunia, bersamaan kira-kira 18 bilion batang sehari.

Daripada jumlah itu, kira-kira 4.5 trilion puntung rokok dibuang setiap tahun, menjadikannya antara sisa paling banyak mencemarkan persekitaran di dunia.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.