5,140 pasport Malaysia baharu dikeluarkan dalam dua hari

3 Jul 2026, 9:08 AM
5,140 pasport Malaysia baharu dikeluarkan dalam dua hari
5,140 pasport Malaysia baharu dikeluarkan dalam dua hari

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebanyak 5,140 Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu dikeluarkan Jabatan Imigresen dalam tempoh dua hari selepas permohonannya dibuka pada Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jumlah itu direkodkan di 14 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan berkenaan, lapor Berita Harian.

"Setakat semalam, sebanyak 5,140 pasport Malaysia versi baharu telah dikeluarkan.

"Permohonan di semua 14 pejabat pengeluar pasport berjalan lancar dan keadaan masih terkawal," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menghargai kerjasama orang ramai yang memahami bahawa permohonan PMA versi baharu bukan diwajibkan, sebaliknya hanya bagi mereka yang benar-benar memerlukannya.

Katanya, pemegang pasport versi lama juga tidak perlu tergesa-gesa membuat penukaran kerana dokumen sedia ada masih sah digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh luput.

Rabu lalu, Jabatan Imigresen memperkenalkan PMA versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan, meningkat daripada 49 ciri pada versi terdahulu.

Antara teknologi keselamatan yang digunakan ialah guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram dan cetakan ultraungu (UV) bagi memperkukuh perlindungan daripada pemalsuan, pengubahsuaian serta penyalahgunaan dokumen perjalanan.

PMA baharu turut menawarkan tempoh sah laku 10 tahun dengan bayaran RM350, manakala kadar RM200 bagi tempoh sah laku lima tahun dikekalkan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.