471 pendatang tanpa izin ditahan dalam 179 operasi seluruh negara

13 Jun 2026, 2:36 PM
471 pendatang tanpa izin ditahan dalam 179 operasi seluruh negara
471 pendatang tanpa izin ditahan dalam 179 operasi seluruh negara
471 pendatang tanpa izin ditahan dalam 179 operasi seluruh negara

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Jabatan Imigresen menahan 471 pendatang tanpa izin kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan menerusi 179 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dalam tempoh lima hari bermula Isnin lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang dijalankan di pelbagai lokasi tumpuan itu turut membawa kepada penahanan 31 majikan yang disyaki menggaji atau melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.

“Hasil operasi itu, seramai 1,494 individu melibatkan warga tempatan dan warga asing telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban. Foto BERNAMA

Beliau berkata empat negeri merekodkan jumlah operasi tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu Johor dengan 52 operasi, diikuti Perak (36), Kedah (25) dan Putrajaya (22).

Katanya fokus utama operasi adalah bagi memastikan warga asing mematuhi syarat pas yang dikeluarkan kerana setiap pas mempunyai tujuan serta syarat tertentu yang wajib dipatuhi pemegangnya.

“Sebarang penyalahgunaan pas termasuk menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan atau terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

“Kegagalan mematuhi syarat pas bukan sahaja boleh menyebabkan pas dibatalkan, malah boleh membawa kepada tindakan penahanan, pendakwaan dan pengusiran dari negara ini,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.