Sindiket pemalsuan dokumen tumpas, kaut RM100 juta sejak 2019

15 Apr 2026, 5:59 AM
Sindiket pemalsuan dokumen tumpas, kaut RM100 juta sejak 2019

SHAH ALAM, 15 APRIL: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen menerusi operasi khas pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak 2019 dan mengaut keuntungan mencecah RM100 juta, lapor Berita Harian.

Jelas beliau, operasi tersebut hasil risikan selama enam bulan di enam lokasi sekitar ibu negara susulan maklumat awam dan laporan media.

“Pihak berkuasa merampas pelbagai dokumen imigresen yang diubah suai termasuk e-pass, pelekat keselamatan serta slip berkaitan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemalsuan.

“Turut dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950.

"Seramai sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada warga Nepal, India, Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang berstatus pemastautin tetap," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam operasi itu, imigresen turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memperluas siasatan termasuk meneliti kemungkinan pembabitan rangkaian lain serta aliran kewangan sindiket.

Zakaria berkata warga tempatan dan wanita Vietnam itu dipercayai bertindak sebagai pemilik serta pengarah syarikat yang terbabit dalam kegiatan sindiket berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pasukan operasi turut menahan dalang utama sindiket, seorang lelaki warga Nepal berusia 43 tahun dalam satu serbuan di Jalan Galloway, ibu kota.

"Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki suspek utama yang disyaki cuba melarikan diri.

"Suspek utama yang ditahan dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah @ "MJ", seorang lelaki warganegara Nepal berumur 43 tahun. Siasatan mendapati suspek pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada tahun 2016," katanya.

Menurutnya, suspek yang juga pemegang pas ekspatriat sah dipercayai menjadi pengatur utama kegiatan berkenaan dan mempunyai rekod lampau.

"Modus operandi sindiket adalah dengan memproses kemasukan pekerja asing secara tidak sah sebelum menyediakan dokumen dan pas imigresen palsu bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini. Setiap pekerja dikenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000," katanya.

Kes disiasat mengikut undang-undang imigresen serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.