Ops Toyu: Sindiket seludup warga asing tumpas, pegawai Imigresen antara ditahan

26 Apr 2026, 4:21 AM
Ops Toyu: Sindiket seludup warga asing tumpas, pegawai Imigresen antara ditahan
Ops Toyu: Sindiket seludup warga asing tumpas, pegawai Imigresen antara ditahan

SHAH ALAM, 26 APRIL: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing yang menyebabkan ketirisan hasil negara RM4.1 juta menerusi operasi khas dikenali sebagai ‘Ops Toyu’.

Operasi tersebut dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam, sekali gus membawa kepada penahanan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada individu yang berperanan sebagai ‘ejen’, ‘transporter’ dan ‘pemudah cara’ dalam sindiket berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan lima warga India dan seorang warga Pakistan yang dikenal pasti sebagai imigran larangan.

“Sindiket ini menyeludup masuk warga asing dari Thailand menggunakan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban. Foto BERNAMA

Beliau menjelaskan, pegawai kanan Imigresen yang ditahan bertindak sebagai ‘pemudah cara’ dengan menurunkan ‘endorsement’ pasport walaupun warga asing tersebut tidak memenuhi syarat kemasukan.

Zakaria berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap warga asing yang diseludup masuk.

“Daripada jumlah itu, RM400 disogok kepada pegawai terbabit bagi setiap pasport yang dicop,” katanya.

Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut menyita pelbagai barang kes termasuk lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan, cap keselamatan Imigresen serta 12 unit telefon bimbit.

Selain itu, wang tunai berjumlah 30,000 Rupee India serta sebuah kereta Nissan Sentra dan dua motosikal turut dirampas.

Semua suspek kini ditahan di Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63, manakala notis turut dikeluarkan kepada empat individu tempatan bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.