Pakej Daya Tahan Selangor bantu peniaga hadapi krisis global

4 Jul 2026, 3:00 AM
Pakej Daya Tahan Selangor bantu peniaga hadapi krisis global
Pakej Daya Tahan Selangor bantu peniaga hadapi krisis global
Pakej Daya Tahan Selangor bantu peniaga hadapi krisis global
Pakej Daya Tahan Selangor bantu peniaga hadapi krisis global

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kesan konflik geopolitik di Asia Barat terhadap harga tenaga dan rantaian bekalan global masih dirasai, dengan pemain industri menganggarkan keadaan itu memerlukan antara satu hingga dua tahun untuk kembali pulih.

Dalam tempoh itu, pelbagai persatuan perniagaan berpandangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 mampu membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi peniaga dan penjaja.

Bagaimanapun, mereka berpendapat penyelesaian jangka panjang juga perlu diberi perhatian, termasuk menangani isu kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi serta kebergantungan negara terhadap import makanan. Pada masa sama, usaha menarik lebih ramai belia menceburi sektor pertanian dan memperkukuh daya saing industri tempatan perlu dipergiat bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negeri.

Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta, merangkumi 15 inisiatif bagi membantu golongan rentan, peniaga, ibu bekerja, pesawah, penganggur dan mahasiswa menghadapi kesan konflik Asia Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa 2 menerusi Sidang Khas Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 23 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Tinjauan Media Selangor terhadap beberapa persatuan perniagaan dan wakil industri mendapati mereka menyambut baik pakej itu kerana menyediakan bantuan bersasar kepada kumpulan yang paling terkesan. Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah pengurangan sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus, Program Latihan dan Penempatan Selangor (PLATS) serta Bantuan Agropreneur Selangor.

Potongan sewa premis bantu peniaga kecil

Presiden Persatuan Pengilang Makanan Malaysia, Ding Hong Sing, menyifatkan pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus selama enam bulan sebagai langkah yang tepat untuk membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.

Bagaimanapun, beliau berpandangan manfaat itu hanya dinikmati sebahagian peniaga, manakala punca utama yang menekan perniagaan kecil masih belum dapat diselesaikan.

Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah terutama sayur-sayuran yang banyak bergantung kepada import terus memberi tekanan kepada peniaga makanan.

"Ramai peniaga kecil terpaksa menanggung kos bahan makanan yang meningkat mendadak kerana negara kita masih bergantung kepada sayur-sayuran import."

Beliau turut menyambut baik pinjaman tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada agropreneur yang disifatkan mampu menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian.

Namun katanya, usaha itu perlu disokong dengan penyediaan tanah pertanian dan akses pembiayaan yang lebih meluas supaya lebih ramai belia benar-benar dapat memulakan perusahaan sendiri.

Menurut beliau, hasil kajian lapangan mendapati semakin kurang golongan muda memilih kerjaya sebagai petani walaupun ramai graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) berminat dalam bidang tersebut.

"Ramai graduan mempunyai minat tetapi tidak mempunyai modal, gagal mendapatkan pinjaman atau tidak memiliki tanah. Akhirnya mereka memilih pekerjaan lain seperti pemandu e-hailing," katanya.

Kurangkan kebergantungan import makanan

Ding turut berpandangan Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap import hasil pertanian bagi memastikan bekalan makanan lebih stabil.

Katanya, ramai rakyat kini berdepan tekanan akibat kenaikan kos sara hidup apabila harga barangan meningkat lebih pantas berbanding kadar kenaikan pendapatan.

Beliau mengambil contoh negara pengeksport hasil pertanian seperti China dan Thailand yang mampu mengekalkan kadar inflasi lebih terkawal kerana mempunyai rantaian bekalan makanan yang kukuh.

Peniaga memeriksa kualiti sayur-sayuran dan buah-buahan supaya hanya produk yang segar dan berkualiti dijual kepada pelanggan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Kami berharap Kerajaan Negeri dapat melihat isu ini dari perspektif lebih makro, termasuk menyediakan tanah kepada petani muda supaya negara lebih berdikari dalam pengeluaran makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import," katanya.

PLATS bantu industri isi kekosongan pekerjaan

Selain kos operasi, kekurangan tenaga kerja terus menjadi cabaran utama industri pembuatan.

Menurut Ding, ramai majikan berdepan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan walaupun permintaan terhadap produk masih tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Program Latihan dan Penempatan Selangor (PLATS) sebagai inisiatif yang mampu membantu menghubungkan pencari kerja dengan majikan melalui kerjasama bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Ramai pengusaha kilang berdepan kekurangan tenaga kerja yang serius. Walaupun pesanan banyak, pengeluaran tidak dapat ditingkatkan kerana pekerja tidak mencukupi."

Beliau berkata, sasaran memadankan 30,000 pencari kerja dengan majikan berpotensi mengurangkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembuatan sekali gus meningkatkan produktiviti industri.

Katanya lagi, ramai pengusaha yang memperoleh pendapatan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) sebenarnya tidak berdepan kekurangan tempahan, sebaliknya kekurangan pekerja untuk memenuhi permintaan pasaran.

"Jika kekosongan itu dapat diisi menerusi PLATS, manfaatnya bukan sahaja dirasai syarikat, malah mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.