MPKS arah tutup premis kitar semula tanpa lesen di Ijok

3 Jul 2026, 7:30 AM
MPKS arah tutup premis kitar semula tanpa lesen di Ijok
MPKS arah tutup premis kitar semula tanpa lesen di Ijok
MPKS arah tutup premis kitar semula tanpa lesen di Ijok
MPKS arah tutup premis kitar semula tanpa lesen di Ijok
MPKS arah tutup premis kitar semula tanpa lesen di Ijok

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebuah premis memproses barangan kitar semula di Ijok diarah menghentikan operasi selepas dikesan beroperasi tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu Premis Barangan Kitar Semula, semalam.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata operasi itu dijalankan jabatan penguatkuasanya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

Dalam operasi dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu, sebanyak tiga premis memproses barangan kitar semula diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua premis memiliki lesen perniagaan MPKS yang sah, manakala sebuah premis didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Premis terbabit diarahkan menghentikan operasi selain dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya menerusi Facebook.

MPKS berkata pihaknya turut mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, gagal menjaga kebersihan bangunan dan meletakkan longgokan guni plastik di tempat awam.

Selain itu, empat notis turut dikeluarkan termasuk arahan menghentikan operasi, menghapuskan kacau ganggu, mengalihkan halangan serta notis berkaitan pembinaan bangunan tanpa kelulusan bertulis pihak majlis.

Dalam operasi sama, MPKS menyita beberapa peralatan yang digunakan di premis tidak berlesen termasuk penimbang digital, kipas, troli dan tukul.

Sementara itu, PDRM turut menahan seorang pekerja warga Bangladesh bagi membantu siasatan lanjut.

MPKS berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat pelesenan, peraturan kebersihan, keselamatan serta undang-undang yang ditetapkan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.