SHAH ALAM, 8 OGOS: Program Karnival Kerjaya Mega Jobcare Selangor 2026 bersama MyFutureJobs bukan sekadar mempertemukan pencari kerja dengan majikan, malah membantu golongan itu memahami kemahiran yang diperlukan industri bagi mendapatkan pekerjaan bersesuaian.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu penting bagi menangani isu ketidakpadanan antara kemahiran pencari kerja dengan keperluan pekerjaan yang ditawarkan industri.

“Program seperti Mega Jobcare ini diperlukan supaya pencari kerja faham bagaimana kita harus menyiapkan diri kita sebagai pencari kerja.
“Pencari kerja perlu menggunakan peluang melalui program ini untuk mengenal pasti bidang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kebolehan masing-masing, selain memahami kemahiran yang perlu dipertingkatkan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Karnival Kerjaya Mega Jobcare Selangor 2026 bersama MyFutureJobs di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.

Dalam sidang media selepas itu, Amirudin berkata program berkenaan menghimpunkan 147 majikan dengan lebih 11,000 kekosongan jawatan. Daripada jumlah itu, 98.4 peratus kekosongan ditawarkan di Selangor, manakala 62.2 peratus menawarkan gaji melebihi RM3,000.
“Saya kira itu satu pendapatan yang berpadanan dengan keperluan tinggal di Selangor. Mengikut pasaran buruh di Selangor 31 Julai, terdapat 71,718 jawatan aktif dan 17,437 individu berjaya ditempatkan ke pekerjaan.
“Kita anggarkan lebih 10,000 pencari kerja akan datang ke karnival ini dengan pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya.
Sementara itu, EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata penganjuran Mega Jobcare Selangor 2026 merupakan hasil komitmen dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan masyarakat mendapat akses kepada peluang pekerjaan berkualiti.

“Ia memastikan rakyat Selangor mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang berkualiti serta mampu meningkatkan taraf hidup mereka.
“Program ini bukan sekadar sebuah karnival kerjaya, malah merupakan platform pembangunan modal insan yang komprehensif dengan pencari kerja berpeluang menyertai temuduga terbuka, padanan pekerjaan, peluang mendapat pekerjaan dalam hari sama, klinik semakan resume serta kaunseling kerjaya,” katanya.










