Lebih 60 peratus aset TLDM berusia lebih 40 tahun, perlu diganti

2 Jul 2026, 9:00 AM
Lebih 60 peratus aset TLDM berusia lebih 40 tahun, perlu diganti

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Lebih 60 peratus aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berusia melebihi 40 tahun, sekali gus menjadi cabaran utama pasukan itu dalam memastikan kesiapsiagaan armada bagi memenuhi komitmen operasi di laut.

Panglima Tentera Laut, Zulhelmy Ithnain, berkata keadaan itu memaksa TLDM terus mengoperasikan kapal-kapal lama walaupun kos penyelenggaraan semakin meningkat dan risiko kerosakan bertambah.

Menurut beliau, TLDM ketika ini melaksanakan enam operasi yang memerlukan komitmen kapal selama 24 jam sehari sepanjang tahun.

"Lebih 60 peratus aset kita berusia lebih daripada 40 tahun, bermakna kebanyakannya sudah usang. Ini menjadi cabaran besar kepada TLDM untuk menguruskan armada yang semakin berusia.

"Kapal-kapal ini masih perlu diatur gerak bagi memenuhi keperluan operasi walaupun keadaannya tidak lagi seperti ketika mula-mula memasuki perkhidmatan," katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Kumpulan Pertama Kapal Kelas Perdana Combatante, di sini hari ini.

Beliau berkata TLDM sentiasa memastikan setiap kapal yang dioperasikan berada dalam keadaan selamat untuk belayar, meskipun mengakui faktor usia memberi kesan terhadap tahap ketahanan aset berkenaan.

"Keutuhan badan kapal mungkin boleh dipersoalkan apabila berdepan ombak besar dan sebagainya. Itu yang membimbangkan kami.

"Sebab itu kita sentiasa mengambil langkah memastikan kapal ini masih selamat untuk belayar, namun hakikatnya lebih 60 peratus kapal sedia ada memang perlu diganti," katanya.

Menurut beliau, walaupun aset lama masih boleh digunakan, kos penyelenggaraan semakin meningkat kerana kerosakan berlaku dengan lebih kerap dan alat ganti pula sukar diperoleh.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kerja pembaikan lebih banyak dilakukan berbanding penyelenggaraan pencegahan yang dirancang.

Sebagai langkah sementara, Zulhelmy berkata TLDM melaksanakan program pengurusan keusangan aset (obsolescence) bagi memanjangkan jangka hayat kapal sedia ada sementara menunggu perolehan aset baharu.

Beliau berkata program itu mampu memanjangkan tempoh penggunaan kapal antara 10 hingga 15 tahun, namun bukan penyelesaian jangka panjang berikutan kos penyelenggaraan akan terus meningkat.

Dalam pada itu, beliau berkata TLDM telah melupuskan lima kapal lama sebagai isyarat bahawa aset usang perlu digantikan dengan kapal baharu.

Katanya, pelan transformasi TLDM 15-to-5 turut menggariskan pelan kemasukan aset baharu dan pelupusan kapal lama secara berperingkat bagi memastikan armada negara kekal berkeupayaan memenuhi keperluan operasi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.