SPRM dedah pegawai kanan TLDM paksa kontraktor sewa hotel miliknya

30 Jan 2026, 10:41 AM
SPRM dedah pegawai kanan TLDM paksa kontraktor sewa hotel miliknya

SHAH ALAM, 30 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan kerana memiliki dua hotel berhampiran Pangkalan TLDM Lumut, Perak, menggunakan unsur paksaan terhadap kontraktor.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata demikian dalam temu bual eksklusif Podcast Kolar Hitam bertajuk 'Azam 2026 Membawa SPRM Berani & Radikal' yang disiarkan di Youtube SPRM, hari ini, lapor Berita Harian.

"Dalam kes berkenaan, dia paksa enam ke lapan kontraktor menyewa hotelnya dengan meletakkan pekerja-pekerja mereka sebab kontrak TLDM guna pekerja luar dan sebagainya, mereka perlu penginapan, dipaksanya untuk bayar.

"Jadi saya nak tuduh pemberi ke penerima? Pemberi ini kehidupan mereka dalam ketakutan, stres, paksaan… bisnes dia akan bankrap," katanya.

Sebelum ini, carian BH mendapati, kedua-dua hotel jenis bajet yang menawarkan harga murah iaitu sekitar RM50 hingga RM70 bagi penginapan satu malam itu terletak hanya sekitar kurang 10 kilometer dari Pangkalan TLDM.

Walaupun berstatus hotel bajet, BH difahamkan, hasil siasatan SPRM mendapati, kedua-dua hotel berkenaan bernilai sekurang-kurangnya RM2 juta mengikut perkembangan semasa.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada dua hotel itu diisytiharkan sebagai pemilikan harta pegawai berkenaan, namun mengikut etika dan kelakuan Kementerian Pertahanan (MINDEF), kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tatatertib.