KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kemajuan kerja perpaipan dan pendawaian bagi Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 dan LCS 2 masih ketinggalan daripada sasaran ditetapkan, sekali gus berisiko menjejaskan pelaksanaan aktiviti pembinaan seterusnya serta sasaran penyerahan fizikal (PHO) LCS 1.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026, setakat 25 Jun lepas, kemajuan kerja perpaipan LCS 1 dan LCS 2 masing-masing hanya mencapai 87.70 peratus dan 74.73 peratus berbanding sasaran 100 peratus, dengan kelewatan masing-masing 12.30 peratus dan 25.27 peratus.
Kelewatan itu melibatkan 4,113 pipe spool susulan perubahan reka bentuk yang memerlukan kerja semula, termasuk rerouting paip bagi memenuhi sasaran prestasi serta menyelesaikan isu clashing.
Sementara itu, kemajuan kerja pendawaian bagi LCS 1 dan LCS 2 masing-masing mencapai 51.41 peratus dan 43.49 peratus berbanding sasaran 100 peratus, dengan kelewatan masing-masing 48.59 peratus dan 56.51 peratus.
Menurut LKAN, kelewatan kerja pendawaian itu antaranya berpunca daripada kerja semula susulan semakan reka bentuk yang melibatkan 95 perubahan cable tray dan 85 perubahan penetration.
LKAN berkata kelewatan kerja perpaipan dan pendawaian, yang merupakan sebahagian daripada aktiviti pembinaan kapal, berisiko menjejaskan pelaksanaan aktiviti seterusnya dan pencapaian sasaran PHO LCS 1.
Berdasarkan maklum balas Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 20 Julai dan 13 Ogos lepas, pembinaan paip bagi LCS 1 dan LCS 2 menggunakan gabungan spool pipe mengikut revisi asal dan baharu, manakala LCS 3 hingga LCS 5 menggunakan sepenuhnya revisi baharu.
Kelewatan itu mula dikenal pasti pada November 2025 susulan teguran daripada Design Authority-Naval Group. Setakat Julai 2026, prestasi kerja piping bagi LCS 1 telah mencapai 100 peratus, manakala LCS 2 mencapai 96 peratus.
MINDEF memaklumkan peningkatan prestasi kerja berkenaan disumbangkan oleh inisiatif kontraktor menyediakan tiga syif pekerja bagi mempercepat proses penyiapan kapal sejak 23 Jan 2024.
Bagaimanapun, Projek Pengurusan LCS (PPLCS) tidak dapat mengesahkan kemajuan kerja perpaipan dan cabling berkenaan kerana hingga Julai 2026, kontraktor masih belum mengemukakan laporan atau bukti bahawa kerja tersebut telah dilaksanakan mengikut kemajuan yang dilaporkan.
PPLCS hanya akan menyemak dan mengesahkan kemajuan kerja yang dikemukakan secara rasmi oleh kontraktor, dengan hanya kerja yang disahkan secara fizikal serta disokong dokumentasi lengkap diiktiraf sebagai kemajuan yang disahkan.
PPLCS turut dimaklumkan bahawa kemajuan fizikal sebenar bagi aktiviti tertentu lebih tinggi daripada kemajuan yang disahkan, namun menegaskan rekod kemajuan hanya berdasarkan kerja yang telah diverifikasi dan disahkan, manakala kemajuan yang belum melalui proses verifikasi tidak akan diambil kira.
-- BERNAMA







