SHAH ALAM, 13 OGOS: Enam anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditemui selamat oleh kapal TLDM hari ini, selepas terapung di perairan Laut China Selatan.
TLDM menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan semua anggota komando itu tersasar dari posisi pendaratan semasa latihan penerjunan bebas disebabkan perubahan cuaca secara tiba-tiba sehingga menjejaskan jarak penglihatan
Katanya, ini membuktikan keberkesanan latihan berterusan dan realistik PASKAL dalam mempersiapkan anggota menghadapi situasi luar jangka.
"Selain kemahiran tempur, latihan intensif ini terbukti memupuk ketahanan diri yang tinggi, disiplin, serta keupayaan ikhtiar hidup (survival) dalam situasi ekstrem selaras dengan slogan 'Sentiasa Yang Terbaik'," katanya.
TLDM menegaskan komitmen berterusan untuk mengimbangi aspek kesiapsiagaan tempur dan keselamatan anggota demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terjamin.
Terdahulu media melaporkan, sekumpulan anggota PASKAL dipercayai terbabit dalam satu insiden selepas menjalani latihan payung terjun di Laut China Selatan, semalam.








