Syabu, ketum trend baharu pemandu, tingkat risiko kemalangan

2 Jul 2026, 1:23 AM
Syabu, ketum trend baharu pemandu, tingkat risiko kemalangan

SEREMBAN, 2 JULAI: Penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine atau syabu, dan ketum kini dikesan menjadi trend baharu serta pilihan utama dalam kalangan pemandu termasuk kenderaan perdagangan sejak lima tahun kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata hal ini berikutan penggunaan bahan berkenaan dipercayai bertujuan mengekalkan tenaga ketika bekerja, terutama bagi tempoh yang panjang.

Beliau berkata perkara itu turut dibuktikan menerusi Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan di seluruh negara semalam, apabila 244 pemandu disaring dengan 22 daripadanya berusia lingkungan 21 hingga 61 tahun ditahan membabitkan 14 positif syabu, enam (ketum) dan dua (ganja).

“Kebanyakan pemandu mengambil dadah untuk tenaga. Sebagai contoh, syabu antara dadah perangsang, jadi kalau mereka ambil dadah itu mereka boleh bekerja lebih masa … ketum juga sudah menjadi trend baharu, mereka ambil (air) ketum untuk kekal kuat, terutama ketika membawa kenderaan.

“Bagaimanapun, apabila kesan dadah itu berkurangan menyebabkan mereka akan collapse atau tidak sedar, atau apabila high, mereka tidak boleh kawal diri, sekali gus menjadi punca kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramly, malam tadi.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh. Foto BERNAMA

Operasi oleh JPJ dengan kerjasama beberapa agensi termasuk AADK, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), polis serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu diadakan selama 10 jam bermula dari 8 pagi.

Ruslin berkata penggunaan dadah berkenaan melibatkan kedua-dua golongan, iaitu belia dan pertengahan umur dengan kadar penagihan tertinggi dalam lingkungan usia 19 hingga 39 tahun ialah kira-kira 70 peratus.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kadar penagihan dadah sintetik seperti syabu, ketamin dan ekstasi kini mencecah kira-kira 80 peratus, sekali gus menunjukkan trend yang membimbangkan.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk menahan lesen vokasional (PSV atau GDL) bagi tujuan siasatan serta menggantung lesen memandu mana-mana pemandu yang didapati positif dadah.

Beliau berkata pada masa yang sama, syarikat pengangkutan juga akan turut dipertanggungjawabkan bagi memastikan pemandu yang digajikan mematuhi undang-undang.

"Kita juga akan hantar laporan ini kepada APAD untuk tindakan selanjutnya. Kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggajikan pemandu terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali syarikat," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.