Kes syabu RM4.83 juta, juruterbang TUDM koordinator sindiket

25 Nov 2026, 6:00 AM
Kes syabu RM4.83 juta, juruterbang TUDM koordinator sindiket

SHAH ALAM, 25 NOV: Bukit Aman mengesahkan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan berhubung penemuan dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta berperanan sebagai koordinator dan penghantar bekalan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata juruterbang terbabit antara 13 individu yang ditahan susulan penemuan 96.6 kilogram (kg) syabu di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan membawa bekalan dadah dari Subang ke Labuan dan Tawau, namun tidak menolak kemungkinan turut dibawa ke destinasi lain.

“Juruterbang yang ditahan berperanan sebagai koordinator dan juga ‘transporter’ untuk membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah.

“Berapa bayaran upah yang diterima masih dalam siasatan dan kita tidak boleh dedahkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melawat keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob yang maut dalam kemalangan membabitkan van polis di Sungkai, Perak pada 17 November lalu, lapor Harian Metro.

Hussein berkata pihaknya turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Maklumat lain termasuk berapa trip sudah dibawa menggunakan aset tentera juga masih dalam siasatan,” katanya.

Setakat ini, 13 individu ditahan membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam termasuk dua koordinator sindiket menerusi operasi di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.

Hussein meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menyelesaikan siasatan sebelum hasilnya dikongsikan oleh Ketua Polis Negara.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.