SHAH ALAM, 16 NOV: Lima rakyat Malaysia antara tujuh individu ditahan dalam operasi membanteras sindiket pengedaran dadah rentas sempadan di Thailand yang membawa kepada rampasan 240 kilogram syabu bernilai kira-kira RM29 juta di pasaran Malaysia.
Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand memaklumkan operasi di wilayah Prachuap Khiri Khan dan Bangkok pada Khamis serta Jumaat lalu turut membawa kepada penahanan dua wanita Thailand.
Menurut ONCB, siasatan mendapati sindiket berkenaan dikendalikan dalang berpangkalan di Malaysia yang menggunakan Thailand sebagai laluan transit untuk menyeludup dadah dari kawasan tengah negara itu melalui wilayah Songkhla sebelum memasuki Malaysia.
"Dalang yang mengarahkan kegiatan sindiket serta pemilik bekalan dadah dikenal pasti berada di Malaysia," menurut kenyataan ONCB, lapor Berita Harian.
Sindiket itu menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang diubah suai dengan ruang tersembunyi, manakala dua wanita Thailand dipercayai bertanggungjawab menyelaras pergerakan, menempah penginapan dan mengurus transaksi kewangan.
Menurut laporan Pattaya Mail, polis menemukan 120 kilogram syabu dalam setiap MPV yang dibungkus menggunakan paket teh Cina dan disembunyikan dalam ruang khas menyerupai komponen sistem audio kenderaan.
Suspek dilaporkan dijanjikan bayaran antara 500,000 hingga satu juta baht (RM61,000 hingga RM122,000) bagi setiap penghantaran berjaya, selain mendakwa pernah melakukan dua atau tiga perjalanan sebelum ini.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, pemandu diarahkan berlagak seperti pemandu peribadi kepada pegawai eksekutif kanan, menggunakan penampilan seolah-olah konvoi rasmi, manakala komunikasi sindiket dibuat melalui WeChat dan Telegram.
Pihak berkuasa turut menyita lapan item harta bernilai kira-kira 700,000 baht (RM85,000), termasuk wang tunai, barang kemas dan jam tangan, selain merampas empat kenderaan serta 13 telefon bimbit.
ONCB memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperluas siasatan terhadap dalang, pemilik dadah dan rangkaian berkaitan di Malaysia, termasuk meneliti aliran kewangan serta mengesan aset sindiket.
Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Thailand untuk tindakan undang-undang.







