SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Agroekonomi Laman Agro Ehsan anjuran Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menjadi peluang kedua kepada 48 asnaf terpilih untuk mengubah kehidupan apabila kini menjadi usahawan tanaman cili fertigasi.
Menerusi program itu, setiap peserta mengusahakan plot tanaman seluas 0.5 ekar yang menempatkan 2,000 beg tanaman cili, sekali gus membolehkan mereka menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
Salah seorang peserta, Raimi Rusydi Rodi, 42, berkata peluang menyertai program berkenaan menjadi titik perubahan dalam hidupnya apabila diberi ruang menceburi bidang pertanian serta berdikari sebagai usahawan tani.

Beliau menyifatkan ladang itu sebagai rezeki yang tidak pernah dijangka, selain menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
“Ladang ini bukan sekadar ladang harapan. Ia adalah ladang untuk saya membentuk diri dan pengalaman saya, untuk saya berdikari dan keluar daripada status sebagai asnaf selepas ini.
“Sebelum ini saya langsung tiada pengalaman berkebun. Tetapi Zakat Selangor beri banyak bantuan dan ilmu, malah kawan-kawan di sini juga sama-sama menyokong dan berkongsi tips penjagaan cili,” katanya kepada pemberita.
Bagi Norfhadilah Mohd Shafiin, 45, berkata beliau teruja ketika dipilih menyertai Program Agroekonomi Laman Agro Ehsan, sekali gus berupaya mengubah taraf ekonomi keluarganya.

Ibu kepada lima anak ini turut memuji inisiatif berkenaan selain berharap ia dapat diperluas serta dimanfaatkan kepada lebih ramai penerima asnaf di seluruh negara.
“Bagus sangat. Kita (asnaf) tidak sekadar menerima tetapi kita juga mampu memberi kepada orang lain. Insyaallah kami juga mahu menjadi penyumbang zakat pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Agroekonomi di Laman Agro Ehsan, Bukit Beruntung di sini, hari ini.
Pelaksanaan projek melibatkan kawasan seluas 76 ekar itu turut disokong melalui dana wakalah
berjumlah kira-kira RM2.07 juta daripada Lembaga Tabung Haji, RHB Islamic Bank Berhad dan Cagamas Berhad.
Peserta turut ditempatkan di kawasan perumahan Prima Beruntung dengan kos sewaan dibiayai oleh Zakat Selangor sepanjang tempoh program selama tiga tahun.











