SHAH ALAM, 19 NOV: Petugas kesihatan yang berdepan kesempitan hidup turut mendapat perhatian apabila Zakat Selangor menyalurkan RM562,000 menerusi wakalah zakat kepada 13 hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menerusi hantaran di Facebook memberitahu, peruntukan itu bertujuan membantu warga kerja dalam kalangan asnaf, dengan institusi penerima diberi amanah mengenal pasti individu yang layak berdasarkan syarat dan garis panduan ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata penyaluran wakalah itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab institusi berkenaan bagi memastikan hak golongan asnaf disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

“Melalui wakalah ini, institusi penerima diamanahkan untuk mengagihkan zakat kepada mereka yang layak. Ini sebahagian daripada tanggungjawab kita mengembalikan hak asnaf dan membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika berucap pada Program Anda Hero Asnaf.
Program yang berlangsung pada 16 November lalu turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (Perubatan), Dr Md Razis Ramli.
Zakat Selangor turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan wakalah zakat yang disalurkan kepada rangkaian institusi di bawah JKNS pada 2025 mencecah kira-kira RM695,000.
Selain bantuan kepada petugas kesihatan, Zakat Selangor turut menyalurkan RM3 juta pada 2026 bagi menyokong Jabatan Khidmat Sosial serta pelaksanaan Program Hospital Mesra Ibadah di hospital bawah JKNS dan hospital institusi pengajian tinggi di seluruh Selangor.
Inisiatif itu turut merangkumi usaha membantu keluarga yang kehilangan atau mengalami pengurangan sumber pendapatan apabila pencari nafkah berdepan masalah kesihatan.
Dalam perkembangan sama, seramai 5,703 warga JKNS menunaikan zakat menerusi Zakat Selangor sehingga Oktober 2026, dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM5.48 juta.







