SHAH ALAM, 30 JUN: Pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) selama enam bulan bermula Julai ini membantu mengurangkan beban kewangan lebih 21,000 peniaga di seluruh Selangor.
Inisiatif diumumkan Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari itu memberi pengurangan sewa 30 peratus sehingga Disember menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dr Ani Ahmad berkata menerusi inisiatif itu seramai 619 peniaga berdaftar menerima manfaat pengurangan kadar sewa sehingga Disember tahun ini.
“Jumlah kos ditanggung majlis RM240,000 melibatkan penyewa dan penjaja. Apabila kita melaksanakan pengurangan sewaan kita harap mereka ada lagi tambahan wang di tangan… ini dapat membantu mengurangkan kos bulanan untuk bayar sewa.
“Mungkin duit yang mereka tak perlu bayar sewa itu dapat digunakan semula untuk penjimatan di tempat lain contohnya membeli barang mentah, melaksanakan perniagaan,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan 713 penyewa premis yang terdiri daripada penyewa kedai dan gerai menerima manfaat.
“Inisiatif ini merupakan salah satu langkah proaktif majlis dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan beban kewangan penyewa premis milik pihak berkuasa tempatan khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos operasi perniagaan.
“Pelaksanaan pengurangan kadar sewa ini melibatkan implikasi kewangan RM300,953.16 bagi tempoh enam bulan.
“Walaupun inisiatif ini memberi kesan kepada kutipan hasil sewaan, ia satu pelaburan sosial yang mencerminkan komitmen dalam menyokong dasar kerajaan untuk membantu meringankan beban kewangan penyewa premis serta memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri menawarkan pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) 30 peratus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu bagi membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global dan memanfaatkan 21,234 peniaga.
Menurut Amirudin, sebanyak RM4.5 juta diperuntuk bagi menjayakan bantuan berkenaan yang akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Amirudin pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.






