12 kanak-kanak istimewa sertai program terapi i-Wheel

30 Jun 2026, 11:00 AM
12 kanak-kanak istimewa sertai program terapi i-Wheel

SHAH ALAM, 30 JUN: Seramai 12 kanak-kanak istimewa berusia tiga dan empat tahun menyertai program terapi bermain berkumpulan atau i-Wheel yang berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini, minggu lalu.

Program selama 12 minggu itu turut melibatkan penyertaan ibu bapa bagi membolehkan mereka mengikuti setiap aktiviti bersama anak sepanjang sesi intervensi dijalankan.

Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) memaklumkan program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

"Sesi bermain berkumpulan ini turut melibatkan ibu ayah untuk sama-sama belajar dan melakukan aktiviti bersama permata istimewa mereka sepanjang sesi berlangsung selama satu jam 30 minit.

"Minggu pertama, topik asas yang sangat penting menjadi tema aktiviti bagi kelas pengenalan iaitu anggota badan (body parts)," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kanak-kanak istimewa bersama ibu bapa mengikuti sesi terapi bermain berkumpulan (i-Wheel) yang berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. Foto Facebook YANIS

Program itu menawarkan dua pilihan sesi setiap minggu iaitu dari jam 9.30 hingga 11 pagi serta 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Penyertaan terbuka kepada kanak-kanak kurang upaya pembelajaran berusia tiga dan empat tahun yang merupakan anak kelahiran Selangor, manakala ibu bapa pula perlu berdaftar sebagai pengundi di negeri itu.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah mengikuti keseluruhan sesi program bersama pegawai intervensi YANIS.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Sensory Circuit bagi melatih koordinasi motor kasar dan meningkatkan fokus sebelum sesi bermula.

Kanak-kanak turut mengikuti Group Activity & People Play bagi membina keyakinan untuk berinteraksi dan bermain bersama rakan, selain Functional Play yang membantu mereka mempelajari cara menggunakan alatan permainan secara betul dan bermakna.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.