SHAH ALAM, 30 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menambah baik persekitaran lalu lintas serta kemudahan di sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Beliau berkata langkah itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat susulan perkhidmatan LRT3 yang mula memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Menurutnya, kawasan berkenaan bukan tidak boleh diakses menggunakan pengangkutan awam, namun kebanyakan penduduk lebih selesa menggunakan kenderaan persendirian kerana dianggap lebih cepat dan mudah.
Katanya, LRT3 menyediakan pilihan alternatif pengangkutan awam yang lebih praktikal kepada orang ramai.
“Seiring peredaran masa, saya berharap LRT3 dapat mengubah tabiat perjalanan secara beransur-ansur, terutamanya golongan pekerja yang berulang-alik ke Kuala Lumpur, supaya mereka dapat menjadikan pengangkutan awam sebagai sebahagian rutin harian.
“Membina tabiat sebegini amat penting, bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah turut mendorong bandar ke arah pembangunan yang lebih mampan,” katanya.
Jamaliah yang juga EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar berkata kewujudan laluan LRT sahaja tidak mencukupi untuk membentuk sistem pengangkutan awam yang lengkap.
Beliau berkata ia perlu disokong dengan perkhidmatan bas ulang-alik, laluan pejalan kaki yang selamat serta sistem kesalinghubungan basikal bagi menghubungkan perjalanan pertama hingga perjalanan terakhir (first mile dan last mile).
“Apabila penduduk mula merasai kebolehpercayaan dan kemudahan sistem ini, saya yakin lebih ramai sanggup mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
“Dalam jangka panjang, ini bukan sahaja dapat memperbaiki keadaan lalu lintas, malah turut menyumbang kepada perlindungan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata pusat khidmatnya kini sedang berhubung dengan MBPJ bagi membincangkan penambahbaikan terhadap persekitaran lalu lintas dan kemudahan sekitar LRT3.
Tambahnya, perasmian LRT3 dijangka memberi gambaran lebih menyeluruh bagi membolehkan langkah penambahbaikan dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat penduduk.
LRT3 mempunyai 20 stesen di sepanjang Laluan Shah Alam, manakala enam daripadanya menyediakan kemudahan tempat letak kereta dengan jumlah 2,300 petak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 28 Jun hingga 31 Julai, termasuk perkhidmatan bas ulang-alik yang dikendalikan Prasarana Negara Berhad.











