SHAH ALAM, 29 JUN: Cadangan mengembalikan pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) tidak membabitkan peningkatan kos yang tinggi apabila jumlah keseluruhan pembinaan projek itu masih lebih rendah berbanding anggaran asal.
EXCO Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata langkah rasionalisasi yang dilaksanakan pada 2018 turut menyumbang kepada penjimatan kos faedah pinjaman sepanjang tempoh pembiayaan yang dianggarkan mencecah sehingga RM14 bilion.
Beliau berkata walaupun kerajaan memutuskan untuk mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan bagi memenuhi keperluan rakyat, kos keseluruhan pembinaan projek berkenaan masih lebih rendah berbanding anggaran asal.
“Walaupun kerajaan memutuskan untuk mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan bagi memenuhi keperluan rakyat, jumlah kos keseluruhan pembinaan projek masih lebih rendah berbanding anggaran asal, sekali gus menjimatkan hampir RM10 bilion wang rakyat,” katanya menerusi media sosial.
Menurut Sze Han, projek tersebut mencerminkan amalan tadbir urus yang berhemah menerusi proses rasionalisasi termasuk menukar model daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada kontrak harga tetap.
Katanya, laluan LRT3 Shah Alam bukan sekadar projek pengangkutan awam, malah melambangkan komitmen kerajaan untuk menyediakan sistem mobiliti yang lebih moden, cekap dan mampan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan usaha gigih dalam merealisasikan projek ini, meskipun melalui pelbagai cabaran sepanjang pelaksanaannya,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata lima stesen baharu bagi LRT3 disahkan akan dibina bermula hujung tahun ini dalam usaha memperkukuh jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang Barat.
Beliau dilapor berkata, lima stesen tersebut melibatkan stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik, yang akan melengkapkan ekosistem mobiliti laluan Shah Alam.
Terdahulu, LRT3 Laluan Shah Alam dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perkhidmatan sepanjang 37.8 kilometer itu dinikmati secara percuma selama sebulan bermula hari ini hingga 31 Julai depan.
Sebagai pelengkap, perkhidmatan bas pengantara turut disediakan secara percuma bagi memudahkan pergerakan pengguna ke stesen utama laluan berkenaan.









