Kubur bertingkat patuh syariah harus jadi alternatif penduduk Selangor, kata ketua penolong mufti

29 Jun 2026, 1:00 PM
Kubur bertingkat patuh syariah harus jadi alternatif penduduk Selangor, kata ketua penolong mufti
Kubur bertingkat patuh syariah harus jadi alternatif penduduk Selangor, kata ketua penolong mufti
Kubur bertingkat patuh syariah harus jadi alternatif penduduk Selangor, kata ketua penolong mufti

RAWANG, 29 Jun: Masyarakat Islam di Selangor perlu lebih cakna dan memahami keperluan pelaksanaan konsep kubur bertingkat yang hukumnya sudah diwartakan sebagai harus di negeri ini.

Ketua Penolong Mufti Jabatan Mufti Negeri Selangor, Mohamad Shukry Sulaiman berkata pertambahan penduduk serta peningkatan kadar kematian di negeri ini memberi tekanan terhadap kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih lestari dalam pengurusannya.

Menurut beliau, konsep kubur bertingkat merupakan antara alternatif yang mampu mengoptimumkan penggunaan tanah tanpa menjejaskan prinsip serta ketetapan hukum syarak.

“Kita di Selangor ini dengan kepadatan penduduk terutama di Lembah Klang meningkat saban tahun, begitu juga jumlah kematian hasil daripada kepadatan penduduk tinggi.

“Dalam masa sama ia akan mendatangkan kesan kepada tanah kubur yang sangat kritikal atau jumlah keluasan tanah kubur dalam masa terdekat ini tidak dapat menampung jumlah kematian yang setiap hari meningkat.

“Jadi sebab itu dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kita telah pun memperincikan keharusan untuk dilaksanakan kubur bertingkat di Selangor, mengambil contoh di negara Arab dan di Masjid Al-Jamiul Badawi di Pulau Pinang,” katanya kepada Media Selangor semalam.

Beliau berkata Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 hingga 17 Disember 2010 memutuskan pembinaan kubur bertingkat diharuskan selepas meneliti taklimat serta hujah yang dikemukakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Ketua Penolong Mufti Jabatan Mufti Negeri Selangor, Mohamad Syukry Sulaiman. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Namun dengan syarat berada dalam keadaan darurat seperti kepadatan penduduk dan lokasi tanah perkuburan yang terhad.

“Sehubungan itu, muzakarah bersetuju dan memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini,” katanya.

Mohamad Shukry berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor turut mewartakan hukum penggunaan semula tanah perkuburan Islam pada 7 Oktober 2004.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-6/2025 yang bersidang pada 11 November tahun lalu turut membincangkan Garis Panduan Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Kubur di Selangor sebelum memutuskan pembinaan kubur bertingkat diharuskan sekiranya wujud keperluan yang benar-benar mendesak.

“Cuma bagi kita umat Islam di Selangor, perkara ini mungkin benda baharu yang kita perlu adaptasi dalam kehidupan kita dan kita perlu menerima apa yang akan berlaku di hadapan kita nanti, mengambil kira keadaan kritikal dan darurat yang membolehkan syarat membenarkan.

“Perkara ini pun sudah diperhalusi dan diharuskan dalam Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kemudian Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Dar al-Ifta' Mesir pun membenarkan perkara ini untuk dilaksanakan,” katanya.

Semua tanah kubur milik MAIS

Selain itu, beliau berkata semua tanah perkuburan Islam atau tanah yang diwakafkan (tanah musabbalah) bagi tujuan perkuburan adalah milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pemegang amanah mengikut Seksyen 90 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2023.

Ketua Penolong Mufti Jabatan Mufti Negeri Selangor, Mohamad Syukry Sulaiman memberi penjelasan mengenai usaha mengoptimumkan penggunaan tanah perkuburan Islam berlandaskan prinsip syariah pada Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid Cahaya Iman, Gombak pada 28 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sebab sekarang ini naratif orang bila tanah kubur itu adalah tanah arwah ayahnya, tidak boleh diusik. Seolah-olah itu milik dia. Tapi realitinya itu adalah tanah wakaf. Tanah wakaf ini ia adalah milik bersama umat Islam. Jadi orang yang infak tanah wakaf itu memang untuk umum, bukan untuk individu.

“Jadi kita sebagai umat Islam di Selangor kena cakna benda ini supaya (faham) bila harta wakaf ia bukan untuk persendirian dan jangan dibuat macam harta sendiri,” katanya.

Beliau turut menyeru institusi masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi berkaitan mempergiat usaha memberi penerangan kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman terhadap keperluan pelaksanaan kubur bertingkat.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kelestarian tanah perkuburan Islam di Selangor terus terjamin seiring pertumbuhan populasi pada masa hadapan.

“Insya-Allah kita di Jabatan Mufti, JAIS atau agensi agama berkaitan bersedia memberi penjelasan lanjut tentang perkara ini.

“(Pelaksanaan kubur bertingkat) di sesebuah (kawasan bukanlah) serta-merta. Keputusan itu akan diputuskan dalam jawatankuasa fatwa terlebih dahulu untuk setiap item kelulusan tanah itu.

“Bukan automatik akan jadi. Setiap item itu akan diputuskan jawatankuasa fatwa, ditimbang teliti, baru dibenarkan. Bukan semua kubur buat begitu, bergantung kepada Jawatankuasa Fatwa, MAIS dan semua pihak berkaitan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.