KDEBWM, TM Enviro perkukuh pengurusan e-sisa di Selangor

29 Jun 2026, 10:11 AM
KDEBWM, TM Enviro perkukuh pengurusan e-sisa di Selangor
KDEBWM, TM Enviro perkukuh pengurusan e-sisa di Selangor

SHAH ALAM, 29 Jun: KDEB Waste Management (KDEBWM) memperkukuh pengurusan sisa elektronik (e-sisa) di Selangor menerusi kerjasama strategik dengan TM Enviro Industries Sdn Bhd bagi melaksanakan kutipan dan pelupusan e-sisa secara lebih sistematik serta mampan.

Pengarah Urusan KDEBWM Dato' Ramli Mohd Tahir berkata kerjasama itu membolehkan syarikat memperluaskan skop perkhidmatannya daripada pengumpulan bahan kitar semula konvensional kepada pengurusan e-sisa yang lebih menyeluruh.

"Apabila kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini, kita bukan sahaja mengumpul kertas, plastik, botol, tin dan aluminium, malah turut memasuki bidang baharu iaitu pengurusan e-sisa.

"E-sisa bukan perkara kecil kerana ia mengandungi bahan beracun dan bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan serta alam sekitar jika tidak dilupuskan mengikut kaedah yang betul," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut di ibu pejabat KDEBWM di sini, hari ini.

Beliau berkata KDEBWM kini memanfaatkan 24 lori Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) bagi melaksanakan kutipan e-sisa secara berjadual di kawasan perumahan sebelum liputan perkhidmatan diperluaskan ke seluruh Selangor.

"Kita perlu mengoptimumkan penggunaan kesemua 24 lori yang diperoleh tahun lalu sebelum menambah aset baharu.

"Sudah tentu apabila skop perkhidmatan berkembang, kita juga perlu melabur dalam aset bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap," katanya.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato' Ramli Mohd Tahir berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn Bhd di ibu pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 29 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR

Sasar kutipan hingga lima tan sebulan

Ramli berkata sejak memperoleh lesen daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada awal April lalu, KDEBWM berjaya mengumpulkan hampir satu tan e-sisa setiap bulan.

"Sejak April hingga Jun, kami berjaya mengumpul secara konsisten tidak kurang daripada 1,000 kilogram (kg) atau satu tan e-sisa setiap bulan.

"Ketika ini, menggunakan 24 lori SELKitar, kita telah meliputi lapan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala empat lagi akan diperluaskan secara berperingkat. Antara kawasan yang merekodkan kutipan tertinggi ialah Sepang dan Subang Jaya.

"Saya percaya jumlah kutipan itu boleh ditingkatkan kepada dua hingga lima tan sebulan sekiranya kita turut bekerjasama dengan kilang serta premis yang ingin melupuskan peralatan elektronik lama secara sah," ujarnya.

Beliau berkata perkhidmatan kutipan e-sisa akan diperluaskan secara berperingkat dengan kerjasama PBT, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN), Ahli Parlimen, badan pengurusan bersama (JMB) dan komuniti setempat.

Menurutnya, kejayaan usaha itu bergantung kepada tahap kesedaran masyarakat untuk melupuskan e-sisa melalui saluran yang sah.

"Kita mahu masyarakat tahu telefon lama, komputer riba, televisyen, peti sejuk dan peralatan elektrik lain tidak boleh dibuang sesuka hati.

"Semua peralatan ini perlu diserahkan kepada pengumpul yang sah supaya dapat diproses dan dilupuskan di fasiliti yang diiktiraf.

"Kita perlu mengubah mentaliti masyarakat supaya melupuskan e-sisa dengan cara yang betul. Jika tidak, masalah pencemaran akan terus berlaku," tambahnya.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato' Ramli Mohd Tahir (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TM Enviro Industries Sdn Bhd, P Theevan menunjukkan dokumen selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 29 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

90 hingga 95 peratus komponen boleh dikitar semula

Dalam pada itu, Ramli berkata penggunaan sistem pendigitalan operasi dan analisis data masa nyata akan meningkatkan kecekapan pengurusan logistik sisa.

Selain itu, katanya program SELKitar akan diperkukuh menerusi peluasan kutipan e-sisa dari pintu ke pintu bagi memudahkan orang ramai melupuskan telefon bimbit, kabel dan aksesori elektronik bersaiz kecil secara selamat.

"Semua e-sisa di bawah Kod SW110 akan diproses untuk mendapatkan semula logam berharga serta komponen yang masih mempunyai nilai ekonomi.

"Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, malah menyokong pembangunan industri ekonomi kitaran di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TM Enviro Industries Sdn Bhd, P Theevan berkata semua e-sisa yang dikumpulkan akan melalui proses pengasingan di fasiliti syarikat di Pulau Indah sebelum bahan bernilai seperti kuprum, emas dan perak dipulihkan.

Katanya, antara 90 hingga 95 peratus komponen e-sisa boleh dikitar semula, manakala selebihnya akan dilupuskan mengikut prosedur yang selamat serta mematuhi peraturan.

"Pengumpul dan pemproses haram lazimnya hanya mengambil bahan yang mempunyai nilai, manakala baki komponen dibuang secara tidak terkawal sehingga menyebabkan pelupusan haram.

"Sebab itu kami mahu mendidik masyarakat supaya menghantar e-sisa kepada saluran yang sah kerana pelupusan dan kitar semula yang betul memberi manfaat besar kepada alam sekitar serta ekonomi negara," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.