SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita 19 halangan yang diletakkan di petak parkir awam dalam operasi membanteras kegiatan 'cop parkir' di sekitar Melawati dan Pandan Perdana pada Khamis lalu.
Operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan MPAJ itu turut memberi tumpuan kepada kenderaan yang menghalang laluan awam bagi memastikan kemudahan parkir dapat digunakan secara teratur serta tidak menjejaskan keselamatan pengguna.
MPAJ memaklumkan pemeriksaan mendapati masih terdapat individu yang meletakkan pelbagai objek di petak parkir awam bagi menghalang pengguna lain daripada menggunakan ruang berkenaan.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilaksanakan terhadap pihak yang terlibat mengikut peruntukan yang berkuat kuasa. Sebanyak 19 sitaan halangan direkodkan sepanjang operasi dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, MPAJ mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan sebarang objek bagi tujuan ‘cop parkir’ atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan awam kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu keselamatan dan keselesaan pengguna lain.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau menghubungi talian 1-800-22-8100.







