KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kapasiti LRT Laluan Shah Alam (LRT3), yang mula beroperasi hari ini mencukupi untuk menampung unjuran jumlah penumpang harian sehingga 2040, meskipun skop projek itu dikurangkan pada 2018, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata kapasiti semasa LRT3 adalah sebanyak 223,560 penumpang sehari, manakala unjuran jumlah penumpang harian bagi tahun pertama operasi laluan itu adalah sebanyak 67,000.
Laluan itu menggunakan 22 set tren tiga gerabak yang mampu membawa 6,210 penumpang sejam bagi setiap arah, bersamaan kira-kira 223,560 penumpang sehari.
“Sehubungan dengan itu, kapasiti perkhidmatan LRT3 mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna. Unjuran penumpang juga telah dibuat bagi tahun-tahun berikutnya, iaitu 126,000 penumpang sehari bagi 2030, 219,000 (2040) dan 324,000 (2050).
“Ini bermakna kapasiti sedia ada sebanyak 223,560 penumpang sehari adalah bersamaan dengan unjuran keperluan sehingga tahun 2040,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung kelewatan siap dan pengoperasian projek LRT3 dan impaknya kepada kos projek.
Menjelaskan perkara itu, Hasbi berkata projek yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer itu mengalami kelewatan berikutan beberapa isu pengintegrasian sistem yang dikesan semasa ujian kritikal dijalankan, namun ia tidak menyebabkan penambahan kos.
Beliau berkata ujian integrasi dijalankan berulang kali atau iteratif sehingga semua isu berkenaan berjaya diselesaikan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna serta kelancaran operasi tren.
“Ingin dijelaskan juga bahawa tiada sebarang penambahan kos memandangkan projek ini merupakan projek kontrak harga tetap (Fixed Price – Turnkey Contract), malah kontraktor berhadapan denda lewat siap (delay damages), sebanyak RM2.729 juta sehari,” katanya.
Sementara itu, Hasbi berkata kerajaan turut mempunyai perancangan untuk melaksanakan fasa kedua LRT3 selepas 2030, yang melibatkan penambahan lima stesen dan tujuh set tren.
Beliau berkata infrastruktur sedia ada turut direka bentuk bagi membolehkan peningkatan kapasiti pada masa hadapan.
“Walaupun tren yang digunakan sekarang terdiri daripada tiga gerabak, platform tersebut masih mempunyai ruang untuk ditambah kepada empat gerabak jika diperlukan,” katanya.







