KLANG, 28 JUN: Lima stesen baharu bagi Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan dibina bermula hujung tahun ini bagi memperkukuh jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata stesen tambahan itu ialah Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang akan melengkapkan sistem mobiliti Laluan Shah Alam.
Beliau berkata pembinaan lima stesen berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira empat tahun selepas kelulusan diberikan.
“Lima stesen tersebut merupakan stesen tambahan yang sudah diluluskan. Pembinaan dijangka mengambil masa sekitar empat tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran LRT3 di Depoh Johan Setia di sini hari ini.
Anthony berkata, lebih 60,000 pengguna bakal memanfaatkan perkhidmatan LRT3 setiap hari yang melalui 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran utama di Bandar Utama dan Glenmarie 2 yang masing-masing menghubungkan Laluan Kajang dan Laluan Kelana Jaya.
Tambahnya, kekerapan tren ketika waktu puncak kini adalah sekitar 7.5 minit dan akan dipertingkat dari semasa ke semasa berdasarkan permintaan serta tahap penggunaan.
“Mana-mana projek macam ini mengambil masa untuk mencapai tahap kecekapan optimum. Ini berdasarkan pengalaman kita dengan MRT Kajang dan Putrajaya yang memerlukan tempoh tiga hingga lima tahun untuk meningkatkan kadar penggunaan.
“Kita akan terus memantau dan menambah baik termasuk memendekkan kekerapan tren dengan penambahan set tren pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Anthony berkata, pas perjalanan tanpa had My50 akan diperluaskan ke LRT3 Laluan Shah Alam mulai 1 Ogos selepas tempoh perjalanan percuma itu berakhir.
“Maksudnya kalau dia dah beli My50, semua laluan dia boleh pakai. Jadi tambahan satu lagi laluan yang boleh digunakan melalui My50,” katanya.
Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam dan bas perantaranya secara percuma selama sebulan bermula esok sempena pembukaan rasmi laluan baharu itu.
Inisiatif berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini, hari ini.
Bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Berhad sebelum ini memaklumkan 40 bas perantara akan beroperasi di 323 hentian merangkumi 13 laluan dengan tambang RM1, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam.








