SHAH ALAM, 28 JUN: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam menjadi bukti kesungguhan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasa sistem pengangkutan awam demi keselesaan serta kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan rangkaian pengangkutan awam kekal menjadi keutamaan kerajaan walaupun memerlukan pelaburan besar kerana manfaatnya dapat dinikmati rakyat untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, kejayaan projek LRT3 turut mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat sekali gus membuktikan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta mampu menghasilkan infrastruktur berkualiti.
“Ini satu lagi bukti kesungguhan kerajaan, menerusi Kementerian Pengangkutan, bersama sektor swasta dalam membangunkan sistem pengangkutan awam negara. Kita sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan pengangkutan awam supaya rakyat dapat menikmati kemudahan lebih selesa, cekap dan efisien.
“Kementerian Pengangkutan memerlukan peruntukan besar kerana keperluan pembangunan negara amat luas. Kita mahu Malaysia mencapai kemajuan dengan segera, justeru sektor pengangkutan menjadi antara keutamaan, sama ada pembinaan lebuh raya, landasan kereta api, LRT mahupun pelabuhan yang semuanya perlu disiapkan secepat mungkin.
“Justeru, saya merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan projek ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut Anwar berkata, walaupun kos pembangunan pengangkutan awam adalah tinggi, kerajaan tetap komited meneruskannya kerana sistem yang cekap mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan penggunaan bahan api serta meningkatkan produktiviti negara.
Beliau berkata, pelaburan dalam pengangkutan awam juga membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat apabila masa perjalanan menjadi lebih singkat dan perbelanjaan harian untuk pengangkutan dapat dikurangkan.
Pada masa sama, beliau menegaskan setiap projek pembangunan perlu diurus secara berintegriti, cekap dan bebas daripada pembaziran supaya setiap peruntukan kerajaan memberi pulangan maksimum kepada rakyat.
“Banyak proses masih terlalu birokratik. Yang saya nak tegaskan, jangan salah guna kuasa, jangan sengaja melengahkan urusan untuk mengambil komisen yang bukan hak kita. Jika semua urusan dilaksanakan dengan cekap dan dipercepatkan, banyak masalah boleh diselesaikan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Anwar menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia, yang mengambil masa kira-kira 15 minit, sebelum menyempurnakan majlis pelancaran.









