SHAH ALAM, 28 JUN: Misteri kehilangan seorang wanita yang dilaporkan keluar rumah untuk menghadiri temu duga kerja pada 16 Jun lalu akhirnya menemui perkembangan positif apabila dia menghubungi polis bagi memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, Nor Afiza Zainuddin, 41, memaklumkan beliau berada dalam keadaan sihat dan hanya memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum pulang ke Taiping.
"Polis berjaya bercakap dengan Nor Afiza Zainuddin yang memaklumkan keadaannya sihat dan memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum kembali ke Taiping untuk bertemu keluarga serta memberi keterangan kepada polis.
"Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat dia berada ketika ini," katanya seperti dilapor BH Online.
Sementara itu, kakak Nor Afiza yang enggan dikenali berkata, keluarga hanya mengetahui perkembangan berkenaan selepas dimaklumkan oleh pihak polis.
"Dia cuma beritahu dia sihat dan perlukan masa untuk bertenang. Setakat ini dia tidak menghubungi ahli keluarga. Saya juga tidak tahu sama ada dia akan pulang ke Taiping dalam masa terdekat kerana dia hanya berhubung dengan pihak polis," katanya.
Dalam pada itu, adik mangsa, Ahmad Zulhilmi, 34, berkata seluruh keluarga berharap Nor Afiza segera pulang.
Katanya, dua anak Nor Afiza sering bertanyakan mengenai ibu mereka, namun keluarga terpaksa mengalihkan perhatian bagi menenangkan mereka.
Sebelum ini, media melaporkan Nor Afiza dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taiping pada 16 Jun lalu untuk menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar sebelum gagal dikesan.







