Kakak rayu bantuan cari adik penuntut UKM hilang lima minggu

26 Nov 2026, 1:22 AM
Kakak rayu bantuan cari adik penuntut UKM hilang lima minggu

ALOR SETAR, 26 NOV: Seorang wanita bimbang keselamatan adik lelakinya, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dipercayai hilang sejak lima minggu lalu.

Nur Fatihah Mat Daud, 33, dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah berkata dia hanya mengetahui mengenai kehilangan adiknya, Muhammad Shafik Hidayat, 22, kira-kira tiga hari lepas menerusi mesej yang tular di aplikasi WhatsApp.

“Saya dapat pesanan mesej yang memaklumkan adik saya sudah lama tidak hadir ke kelas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pihak universiti juga ada menghubungi saya untuk maklumkan mengenai perkembangan kehilangannya, namun sehingga kini dia masih belum ditemui.

“Kali terakhir saya berhubung dengan adik pada 3 Oktober lalu ketika menghantarnya menaiki bas untuk ke Kajang. Ketika itu, dia masih membalas mesej seperti biasa...namun selepas itu, apabila saya cuba menghubunginya, ia tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Fatihah berkata adiknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepadanya dan selama ini dia menyangka Muhammad Shafik Hidayat sedang mengikuti pengajian seperti biasa serta berada dalam keadaan baik di universiti.

“Selepas kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia kira-kira empat, lima tahun lepas, saya hanya ada dia sahaja kerana kami dua beradik. Jadi, saya amat berharap adik ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat.

“Saya telah membuat laporan polis dan pihak universiti memaklumkan mereka juga telah membuat laporan polis. Saya mohon sekiranya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat adik saya tampil membantu atau hubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan penuntut Tahun Tiga, Fakulti Sains Citra UKM yang memaklumkan bahawa pelajar berkenaan tidak hadir ke universiti kira-kira lima minggu dan sehingga kini keberadaannya masih belum diketahui.

Pihak universiti cuba menghubungi nombor telefon penuntut berkenaan, namun panggilan tidak berjawab dan berharap sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan pelajar itu menghubungi universiti atau polis.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.