Visual dan foto kuasai perhatian, penulisan masih kekal relevan  

30 Jun 2026, 3:00 AM
Visual dan foto kuasai perhatian, penulisan masih kekal relevan   
Visual dan foto kuasai perhatian, penulisan masih kekal relevan   
Visual dan foto kuasai perhatian, penulisan masih kekal relevan   

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Dalam era media sosial, kandungan visual semakin menjadi medium utama masyarakat mendapatkan maklumat berbanding teks yang panjang.

Perubahan itu turut mengubah cara orang ramai mengakses maklumat apabila gambar dan video sering menjadi keutamaan kerana lebih menarik perhatian.

Nur Edrinna Junaidi, 22, faktor persekitaran yang dipenuhi elemen visual dan teknologi menjadikan kandungan bergambar lebih memberi impak berbanding perenggan teks yang panjang.

"Dulu masa kecil kita baca komik atau majalah sebab kita suka tengok gambar, warna dia yang lebih memberi impak berbanding kita membaca. Kalau membaca terutama teks yang panjang, ia sedikit membosankan.

"Sebagai pelajar jurusan kewartawanan, saya suka pembaca tengok gambar dahulu kemudian tertarik nak tahu cerita. Kita juga akan ambil gambar yang tanpa letak penerangan pun orang tahu pasal apa. Daripada situ, mungkin mereka akan tertarik untuk baca cerita untuk gambar tersebut," kata pelajar jurusan kewartawanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada Media Selangor.

Edrinna turut berkata budaya membaca masih wujud, namun ia kini lebih beralih kepada platform digital seperti e-buku dan e-novel yang lebih mudah diakses menggunakan telefon pintar atau tablet.

Sementara itu, usahawan Nurazwani Abd Aziz, 39, berkata masyarakat kini lebih memilih visual kerana mahukan maklumat yang dapat difahami dengan cepat tanpa perlu meluangkan masa membaca secara terperinci.

"Berbanding surat khabar atau majalah, telefon bimbit adalah media yang terdekat dengan masyarakat, kita 'scroll' terus dapat informasi.

"Orang sekarang nak cepat. Bila nampak gambar atau video, ia lebih mudah difahami dan menarik minat kemudian barulah mereka baca teks ataupun penceritaan tentang gambar tersebut," katanya.

Bagi Ahmad Aqil Mohd Norazwan, 19, visual membantu orang ramai membina gambaran sesuatu situasi dengan lebih mudah berbanding hanya membaca teks.

Menurut pelajar jurusan fotografi Universiti Selangor (UNISEL) ini, gambar mempunyai jalan cerita yang lebih memberi kefahaman kepada penonton.

"Saya lebih suka tengok gambar sebab terus boleh faham situasi. Kalau baca teks yang panjang, saya mudah hilang fokus dan susah nak bayangkan apa yang diceritakan," katanya.

Mengulas mengenai budaya membaca, Aqil tidak menafikan masyarakat kini lebih mudah membuat spekulasi hanya menerusi gambar atau video yang dilihat tanpa membaca penerangan terlebih dahulu.

"Kadang mereka tak baca kapsyen, terus komen benda yang negatif. Pada saya, kedua-dua informasi sama ada dari visual atau penulisan penting," katanya.

Dalam pada itu, jurugambar sambilan Aliff Basri, 40, berpendapat visual dan penulisan tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam menyampaikan maklumat dengan tepat.

Menurutnya, gambar merupakan medium komunikasi yang berkesan, namun teks masih diperlukan bagi membantu masyarakat memahami isu lebih mendalam.

"Orang boleh masuk mana-mana pintu, sama ada dia suka membaca kemudian suka kepada visual atau melalui visual mereka dpaat mengenali teks. Visual dan teks ialah kombinasi yang baik. Kadang-kadang kita perlukan gambar. Kalau tidak faham visual, kita perlu baca teks," katanya.

Mereka ditemui di pameran TERHUBUNG di Muzium Telekom Negara di Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu.

Pameran tersebut menghimpunkan hasil fotografi dan dokumentari visual wartawan selain mengetengahkan peranan media sebagai medium merakam, menyampaikan serta menghubungkan pelbagai kisah masyarakat daripada latar belakang berbeza.

 

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.