Kempen Beli Barangan Malaysia dijenama sebagai Jom Beli Produk Malaysia

27 Jun 2026, 3:43 PM
Kempen Beli Barangan Malaysia dijenama sebagai Jom Beli Produk Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mentransformasikan Kempen Beli Barangan Malaysia kepada Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) sebagai gerakan nasional berteraskan patriotisme ekonomi bagi menggalakkan penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata transformasi itu bukan sekadar melibatkan penjenamaan semula nama dan logo, malah merangkumi perubahan objektif, strategi serta pendekatan yang disesuaikan dengan perkembangan landskap perdagangan dan corak penggunaan semasa, lapor Berita Harian.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh penggunaan produk tempatan, meningkatkan daya saing usahawan serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.

"Jom Malaysia berteraskan empat fokus utama iaitu menjadikan pembelian produk Malaysia sebagai gerakan nasional, mengamalkan pendekatan 'whole-of-nation' yang membabitkan kerajaan, industri dan rakyat, memperluaskan skop kepada sektor perkhidmatan selain produk serta menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Transformasi Jom Beli Produk Malaysia sempena Festival Jom Malaysia x Pesta Kita 2026 di Pasar Seni, hari ini.

Armizan berkata pendekatan baharu itu turut mengiktiraf sektor perkhidmatan sebagai pemacu penting ekonomi negara, berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu kepada produk fizikal.

Katanya, KPDN turut menyasarkan pelancong dan pasaran antarabangsa bagi memperluaskan penembusan produk Malaysia di peringkat global.

Bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif itu, kementerian akan melaksanakan beberapa program strategik termasuk KITA KLIK! menerusi kerjasama dengan platform e-dagang bagi memperluaskan capaian pasaran digital produk tempatan.

Selain itu, inisiatif Kita Untuk Kita akan dilaksanakan bersama rangkaian pasar raya dan peruncit tempatan bagi meningkatkan pendedahan serta akses produk Malaysia kepada pengguna dan pelancong.

KPDN juga akan bekerjasama dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) bagi memperkukuh industri fesyen, tekstil dan batik tempatan, selain melaksanakan Local to Global Retail Programme bagi membantu produk Malaysia menembusi rangkaian peruncitan antarabangsa.

Armizan berkata kerajaan terus mengambil pendekatan dua serampang dalam menangani kos sara hidup, iaitu menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan serta meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pengukuhan aktiviti perniagaan dan keusahawanan.

Beliau berkata sokongan terhadap produk tempatan bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi negara, malah membantu meningkatkan pendapatan usahawan serta memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Festival Jom Malaysia x Pesta Kita 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Pasar Seni menghimpunkan 123 usahawan dan pempamer dari seluruh negara yang menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan tempatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.