KUALA LUMPUR, 27 JUN: Dua lelaki ditahan bersama dadah jenis heroin selepas kereta dinaiki mereka merempuh tiga kereta lain ketika dikejar polis di Jalan Kuching, di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam kejadian pada 7.46 malam itu, kedua-dua suspek iaitu pemandu berusia 40 tahun dan penumpang, 42, dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Beliau berkata pemandu berkenaan enggan memberhentikan kenderaan apabila diarahkan sebelum dikejar sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, dari Wangsa Maju ke Jalan Kuching.
"Setibanya di lokasi kejadian (Jalan Kuching dari arah Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke pusat bandar), pemandu kenderaan itu yang memandu secara berbahaya hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata tindakan pantas polis berjaya menahan kedua-dua suspek di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram.
Beliau berkata tiga kenderaan awam yang dirempuh itu ialah sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 42 tahun, Honda City dipandu wanita berusia 20 tahun serta Perodua Viva dipandu warga emas berusia 60 tahun.
“Insiden ini mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dilakukan hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan di Jalan Kuching dari DUKE.
-- BERNAMA







