SHAH ALAM, 22 NOV: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran tular di media sosial mendakwa anggota trafik melakukan pemerasan dan menerima rasuah ketika menjalankan sekatan jalan raya di Georgetown.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian tersebut, lapor Berita Harian.
"Polis sedang menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Siasatan turut merangkumi aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan tatatertib terhadap anggota yang terbabit," katanya menerusi kenyataan.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan hantaran itu atau membuat spekulasi tidak berasas kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan dan mencemarkan kredibiliti pasukan polis.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran mendakwa diperas ugut oleh anggota polis trafik ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di kawasan Relau di sini.






