JERTIH, 27 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan kereta dalam kejadian di Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu, berhampiran Kampung Bukit Kenak, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, murid tahun lima di sebuah sekolah rendah di sini, Wan Julaini Wan Noh dari Kampung Pulau Panjang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahman berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kanak-kanak bawah umur itu menunggang motosikal terbabit, namun kenderaan itu mengalami kerosakan lalu ditunda oleh sebuah motosikal lain semasa kejadian.
“Sebuah kereta Perodua Axia yang datang dari arah sama kemudiannya telah melanggar bahagian belakang motosikal mangsa secara mengejut, manakala motosikal yang sedang menunda motosikal mangsa tidak terlibat dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata perlanggaran kuat itu menyebabkan mangsa terseret sejauh kira-kira 50 meter dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, pemandu kereta Perodua Axia yang merupakan seorang wanita berumur 21 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Rozaime berkata pihak polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu berkenaan dan mendapati keputusan adalah negatif dadah dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Mohd Rozaime berkata pihaknya memandang serius kejadian itu serta memberikan peringatan tegas kepada semua ibu bapa serta penjaga agar tidak membenarkan anak-anak di bawah umur menunggang atau mengawal motosikal di jalan raya kerana tindakan itu ialah satu kesalahan undang-undang dan mengundang risiko kemalangan jiwa.







