SHAH ALAM, 7 OKT: Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara (Naico) bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menubuhkan Pusat Latihan MyAero di Taman Aero Selangor (SAP), sebuah hab berteknologi tinggi bagi melatih jurutera muda serta mengekang penghijrahan tenaga mahir ke luar negara.
Pusat latihan berkenaan bakal menawarkan kemudahan bertaraf dunia dan pendedahan kepada teknologi terkini seperti robotik, automasi serta kecerdasan buatan (AI), bagi memperkukuh sektor aeroangkasa negara dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif Naico, Shamsul Kamar Abu Samah, berkata walaupun Selangor terus menjadi peneraju industri aeroangkasa negara, menempatkan lebih 60 peratus pemain industri di Subang, Sepang, Shah Alam dan Serendah, usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan masih menjadi keutamaan.
“Kami mahu mengecilkan jurang tenaga mahir dalam industri aeroangkasa Malaysia, khususnya di Selangor yang menempatkan Taman Aerotek Subang.

"Pusat latihan di SAP ini bukan sahaja akan meningkatkan kemahiran tenaga kerja, tetapi juga meyakinkan pelabur bahawa Malaysia mempunyai kepakaran tempatan yang diperlukan,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor di ibu pejabat Naico, Menara Matrade, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis pecah tanah SAP di KLIA Aeropolis 5 Jun lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor dijangka menguasai sehingga 73 peratus aktiviti ekonomi aeroangkasa Malaysia menjelang akhir dekad ini, meningkat daripada 68 peratus ketika ini.
Menurut Shamsul, penghijrahan tenaga mahir ke luar negara masih menjadi cabaran utama, namun ia juga menggambarkan permintaan tinggi dunia terhadap bakat Malaysia.
Beliau yakin pendekatan Naico yang memberi akses kepada alat moden, laluan kerjaya stabil serta peluang pembelajaran berterusan mampu mengekalkan lebih ramai tenaga mahir di dalam negara.
“Generasi baharu hari ini mempunyai jangkaan yang jelas, mereka mahukan pendapatan yang lebih baik, peluang kerjaya luas, akses kepada teknologi canggih dan kestabilan syarikat. Melalui pusat latihan baharu di SAP, kami mahu pastikan semua itu boleh diperoleh di sini,” katanya.
Tahun ini sahaja, Naico melatih 600 individu, termasuk 400 pekerja dan 200 pelajar tahun akhir, melalui program di bawah MyAero Centre of Excellence iaitu sebuah hab pembangunan bakat, inovasi dan kerjasama industri dalam bidang aeroangkasa.

“Di sinilah mereka boleh memperkukuh pengetahuan dan meningkatkan kepakaran,” katanya sambil menjelaskan bahawa makmal canggih untuk kejuruteraan songsang, pembuatan tambahan dan AI ramalan turut disediakan bagi membekalkan kemahiran masa depan kepada tenaga tempatan.
Naico turut memperluas kerjasama dengan universiti tempatan bagi memperkukuh penyelidikan, pembangunan serta kepakaran kejuruteraan yang memacu inovasi industri, sekali gus memastikan rantaian bakat sektor aeroangkasa negara kekal kukuh.
Perkukuh rantaian bekalan dan kelestarian
Selain isu tenaga mahir, Malaysia juga bakal memperkukuh rantaian bekalan aeroangkasa melalui pelaksanaan Transformasi Strategik Ekosistem Rantaian Bekalan Aeroangkasa (Teras) pada 2026, yang menyasarkan pembangunan 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpilih sebagai pembekal bertaraf global.
“Kami mahu membangunkan kepakaran tempatan. Sepuluh PKS terbaik akan dinilai secara menyeluruh untuk dijadikan model pembangunan rantaian bekalan,” katanya.
Langkah itu penting susulan kehadiran syarikat gergasi antarabangsa seperti Airbus, Boeing dan Turkish Aerospace yang terus memperluas operasi di Malaysia, khususnya di Selangor dan Melaka.
Shamsul berkata, usaha ini membuka peluang besar kepada syarikat tempatan untuk menempatkan diri dalam rantaian nilai global.
“Cabaran utama ialah mengadaptasi teknologi digital, automasi dan robotik agar kekal kompetitif dari segi kos, kualiti, penghantaran dan keselamatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi penting untuk memastikan rantaian bekalan Malaysia seiring dengan piawaian antarabangsa serta mendukung trend kelestarian global.
Ketika pengeluar dan syarikat penerbangan antarabangsa berdepan tekanan mengurangkan pelepasan karbon, Malaysia kini giat memposisikan diri sebagai peneraju serantau dalam amalan penerbangan lestari.
Shamsul berkata, Naico telah melaksanakan inisiatif di bawah rangka kerja ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), selain menganjurkan Simposium Penerbangan Lestari MyAero Asia Pasifik pada Julai lalu yang menarik penyertaan ratusan peserta dari 22 negara.
“Ini menunjukkan Malaysia semakin mendapat perhatian, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, dalam pelaksanaan inisiatif penerbangan lestari,” ujarnya.
Dengan kelestarian kini menjadi faktor daya saing utama, Naico yakin komitmen Malaysia bukan sahaja menarik lebih ramai pelabur antarabangsa tetapi turut memastikan ketahanan jangka panjang industri dalam menghadapi peraturan alam sekitar yang semakin ketat.
Dengan pelaburan berterusan dalam bakat, teknologi dan infrastruktur, sektor aeroangkasa negara menyasarkan pendapatan RM55.2 bilion menjelang 2030.
