KANSAS CITY (Missouri), 26 JUN: Belanda menewaskan Tunisia 3-1 pada Khamis untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia sebagai pemenang Kumpulan F, manakala Jepun dan Sweden turut layak selepas seri 1-1, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Belanda kini akan menentang Maghribi pada pusingan 32, manakala Jepun akan menentang Brazil.
Sweden mara sebagai salah satu daripada lapan pasukan terbaik di tempat ketiga namun perlu menunggu sehingga akhir peringkat kumpulan untuk mengetahui lawan mereka seterusnya.
Pasukan Belanda dihadiahkan pendahuluan awal selepas Ellys Skhiri mendorong bola ke gawang sendiri pada minit ketiga apabila cuba menepis hantaran lintang rendah Denzel Dumpfries.
Hanya empat minit kemudian, mereka menambah satu lagi gol. Kapten Virgil van Dijk melakukan tandukan di dalam kotak penalti daripada sepakan percuma dan Brian Brobbey merembat bola ke dalam jaring.
Tunisia membalas satu gol pada minit ke-54 dengan Hazem Mastouri menanduk masuk dari sepakan sudut, namun tandukan Jan Paul Van Hecke juga dari sepakan sudut mengembalikan kelebihan dua gol Belanda dan memastikan kemenangan pada minit ke-62.
Di Dallas, Jepun melancarkan serangan terlebih dahulu dan mendahului pada minit ke-56 menerusi Daizen Maeda.
Ayase Ueda menghantar bola melalui pertahanan Sweden dan menemui Maeda, yang menamatkan serangan dengan bergaya.
Namun Sweden berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-62. Anthony Elanga yang menerima bola di sebelah kanan, meluru dan melepaskan rembatan padu yang tidak mampu dihalang, ke dalam gawang Jepun.
Alexander Isak hampir meraih gol kemenangan buat Sweden pada masa kecederaan, namun tandukannya hanya mengena palang.







