SHAH ALAM, 26 JUN: Kumpulan Petaling Perdana (B) menjuarai Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) 2026 (Debat Darul Ehsan) yang diadakan di Wisma DNS di sini, semalam.
Kumpulan Petaling Perdana (B) yang bertindak sebagai kerajaan dianggotai pendebat dari Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Jemaah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Perdana dan SMK Taman Sri Muda.
Kumpulan berkenaan menewaskan kumpulan Hulu Langat (B) dalam pertandingan akhir yang membawa usul 'Dewan Ini Percaya Balik Kampung Destinasi Terbaik Cuti-Cuti Malaysia'.

Sementara itu, Speaker Lau Weng San memuji semangat dan kebijaksanaan semua pendebat yang dilihat tampil membahaskan usul dengan berhujah menggunakan fakta serta analisis bernas.
“Pendebat remaja ini sangat bertenaga dan mereka juga mempunyai pemikiran yang bijak. Walaupun mereka sepasukan dan berbeza sekolah, tetapi kita cuba beri cabaran dan mereka dapat atasi perkara itu.
“Ini juga merupakan kali pertama kita adakan pertandingan ini di Wisma DNS. Kita mahu mereka merasakan semangat dan pengalaman sebenar sebagai wakil rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis berkenaan, semalam.
Debat Darul Ehsan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, julung kali diadakan di Wisma DNS bagi memberi pendedahan awal mengenai fungsi institusi DUN sekali gus memupuk semangat kepimpinan pelajar.
Peserta turut dibawa melawat ke kamar DNS serta mendengar sesi perkongsian bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan ADN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.








