Chery pacu pembangunan Lembah Automotif Hulu Selangor

25 Jun 2026, 1:45 PM
Chery pacu pembangunan Lembah Automotif Hulu Selangor
Chery pacu pembangunan Lembah Automotif Hulu Selangor

LEMBAH BERINGIN, 25 JUN: Syarikat automatif China, Cherry, akan menjadi pemangkin utama hab pembangunan bagi aktiviti pembuatan kenderaan, penyelidikan dan pembangunan, latihan serta aktiviti rantaian bekalan di Lembah Automatif Hulu Selangor.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata pembangunan yang dicadangkan meliputi kawasan Serendah dan Rasa itu adalah sebahagian daripada pelan Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekosistem automotif yang lengkap bagi menyokong pertumbuhan industri pada masa depan.

Menurutnya, inisiatif itu akan mengukuhkan kedudukan Selangor dalam sektor automotif dengan menghimpunkan aktiviti industri dan pembangunan bakat di bawah satu hab yang tersusun.

"Kerajaan Negeri merancang membangunkan sebuah Lembah Automatif di Serendah dan Rasa, dengan pelaburan Chery sebagai pemacu utama.

"Hasrat kita bukan sekadar membina sebuah kilang, tetapi mewujudkan sebuah Lembah Automatif yang menempatkan pengeluar kereta, pembekal komponen, pusat penyelidikan dan latihan dalam satu kawasan, selain membangunkan rantaian bekalan yang kekal di Selangor," katanya ketika berucap pada majlis 'topping-out' Chery hari ini.

Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery (Chery Smart Auto Industrial Park) kini sedang dibangunkan di Hulu Selangor sebagai ekosistem pembuatan automotif berskala besar yang menggabungkan kemudahan pengeluaran kenderaan dan industri sokongan.

Projek itu dijangka siap secara berperingkat menjelang 2029 dan bakal menjadi antara pusat operasi utama Chery di rantau ini.

Sze Han berkata pelaburan melebihi RM2 bilion oleh Chery merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan visi itu, selain membuka lebih banyak peluang kepada penduduk dan komuniti perniagaan di Hulu Selangor.

"Bagi Hulu Selangor, pelaburan ini amat penting. Kita membawa kemahiran pembuatan berteknologi tinggi, peluang pekerjaan dan peluang ekonomi sebenar ke kawasan yang sememangnya layak menerima lebih banyak pembangunan.

"Ini adalah pembangunan yang lebih seimbang kerana pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan perindustrian sedia ada, malah diperluaskan ke komuniti yang bakal menjadi tumpuan industri masa depan," katanya.

Beliau berkata Hulu Selangor mempunyai kedudukan strategik untuk pembangunan itu kerana berhampiran kemudahan automotif sedia ada serta mempunyai rangkaian pengangkutan yang baik.

"Kawasan ini terletak di koridor automotif Malaysia, mempunyai hubungan terus dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan menjadi pintu masuk antara Selangor dengan Perak.

"Di sebelah utara ialah Tanjung Malim dan Proton City, manakala di sekelilingnya terdapat kilang Proton, Perodua serta beberapa pengeluar kenderaan lain. Semua asas industri automotif seperti tenaga mahir, pembekal dan kepakaran sudah pun tersedia di sini," katanya.

Sze Han menegaskan Selangor akan terus menarik pelaburan bernilai tinggi yang mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran serta memberi manfaat ekonomi jangka panjang kepada rakyat negeri itu.

"Kita akan terus memberi tumpuan kepada industri bernilai tinggi yang membawa teknologi, kemahiran dan peluang pekerjaan berkualiti, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.