LEMBAH BERINGIN, 25 JUN: Pelaburan melebihi RM2 bilion oleh syarikat automotif China, Chery, dijangka mengukuhkan kedudukan Hulu Selangor sebagai hab pembuatan automotif, selain mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery (Chery Smart Auto Industrial Park) sedang dibangunkan di Lembah Beringin sebagai ekosistem pembuatan automotif berskala besar yang menghimpunkan kemudahan pengeluaran kenderaan dan industri sokongan.
"Chery dijangka memulakan operasi di fasiliti ini pada suku pertama tahun depan, manakala fasa seterusnya dijadualkan siap pada 2028 dan 2029," katanya kepada media selepas menghadiri majlis topping-out Chery hari ini.
Majlis itu menandakan siapnya kerja pemasangan bumbung bagi fasa pertama taman perindustrian berkenaan, yang mula dibina kira-kira tujuh bulan lalu.
Projek itu dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang 2029 dan bakal menjadi antara pusat operasi utama Chery di rantau ini.
Amirudin berkata fasa pertama pembangunan itu dijangka menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan, manakala keseluruhan projek akan mewujudkan sekitar 5,000 peluang pekerjaan langsung apabila siap sepenuhnya.
Menurutnya, jumlah sebenar peluang pekerjaan dijangka lebih tinggi kerana pembangunan itu turut menempatkan vendor dan syarikat industri sokongan.
"Kalau kita ambil kira semua vendor, saya fikir lebih 5,000 hingga 8,000 peluang pekerjaan boleh diwujudkan hasil pelaburan melebihi RM2 bilion yang dibuat Chery," katanya.
Pelaburan itu turut mengukuhkan kedudukan Hulu Selangor sebagai pusat pembuatan kenderaan yang kini menempatkan beberapa kemudahan automotif, termasuk operasi Perodua di Sungai Choh dan Serendah.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri berhasrat memanfaatkan pelaburan berkenaan untuk menarik lebih banyak pengeluar automotif ke kawasan itu.
"Kita akan melihat bentuk sokongan yang boleh diberikan kerajaan supaya Hulu Selangor berkembang menjadi Automotive City dan seterusnya muncul sebagai pusat pembangunan kenderaan bagi pasaran domestik serta antarabangsa," katanya.







