SHAH ALAM, 24 SEPT: Pelaburan syarikat automotif Chery di Selangor bakal membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada graduan tempatan.
Dato' Menteri Besar berkata faedah langsung itu diperolehi daripada pelaburan yang dijangka melebihi RM2 bilion daripada syarikat tersebut secara berfasa dalam tempoh lima tahun.
Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan ia juga membantu limpahan ekonomi peniaga kecil dan sederhana dalam rantaian pembekal automotif, serta memperkukuh daya saing negeri secara global.
"Selangor akan terus menjalin kerjasama strategik dengan Chery dan pelabur lain demi meraih lebih banyak peluang dan kemakmuran untuk rakyat negeri ini," katanya dalam lawatan ke Wuhu, semalam.
Menurutnya, pelaburan Chery di Selangor termasuk pembangunan Taman Perindustrian Chery Smart Auto dalam ekosistem seluas 323.75 hektar di Beringin High-Tech Auto Valley (HTA), Hulu Selangor.

Pembangunan itu sejajar visi berfasa Beringin HTA Valley dalam membangunkan sebuah perbandaran bersepadu yang mampu menarik bakat, pelaburan dan inovasi ke kawasan berkenan.
Ia termasuk membina kilang pengeluaran, automasi dan inovasi seperti kenderaan petrol, hibrid, plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik (BEV) dengan kapasiti awal 100,000 kenderaan setahun dengan potensi berkembang kepada 300,000 unit.
Dalam lawatannya ke kilang tersebut bersama delegasi Selangor, Amirudin turut mengagumi kemajuan Chery menggunakan teknologi robotik dalam proses penghasilan kenderaan.
"Saya kagum dengan skala dan tahap automasi di sini kerana hampir semua kerja kimpalan dan pemasangan dikerjakan robot. Hanya kerja butiran halus dan pemeriksaan kualiti yang masih memerlukan kepakaran teknikal manusia," katanya.
Tambahnya, Chery turut membangunkan teknologi AiMOGA, robot humanoid yang digunakan dalam beberapa bilik pameran yang boleh memahami ucapan manusia dan memberi maklum balas dalam 11 bahasa.
"Saya diberitahu bahawa Chery telah menghantar sekitar 220 unit AiMOGA humanoid robot ke seluruh dunia, membuktikan kesiapsediaan teknologi ini untuk pasaran sebenar," jelasnya lagi.
Amirudin berada di China bagi misi perdagangan dan pelaburan untuk meneroka potensi kerjasama dengan beberapa pemain industri mulai 23 sehingga 30 September.
Lawatan turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.
Turut bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.






