KUALA KUBU BHARU, 25 JUN: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual berlangsung Ogos ini.
Dato’ Menteri Besar berkata segala persiapan bagi pembentangan pelan pembangunan tersebut telah dimuktamadkan dan Kerajaan Negeri kini hanya menunggu pengeluaran notis serta pengesahan jadual persidangan.
“Kita akan membentangkannya pada Ogos sempena sidang kedua DNS yang telah dimuktamadkan bersama jadual persidangan dewan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas menghadiri majlis topping-out Chery Smart Auto Industrial Park, Lembah Beringin hari ini.
Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diperkenalkan pada 2022 menjadi pelan pembangunan lima tahun negeri bagi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kelestarian alam sekitar serta menambah baik tadbir urus sehingga 2025.
Berdasarkan pencapaian dan keutamaan yang digariskan menerusi RS-1, Amirudin berkata Kerajaan Negeri kini bersedia memperkenalkan RS-2 bagi memacu fasa seterusnya pembangunan Selangor dengan penglibatan lebih menyeluruh sektor awam dan swasta.
Menurutnya, RS-2 akan menggunakan pendekatan hibrid yang menggabungkan program dan projek Kerajaan Negeri dengan inisiatif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pemain industri swasta.
“Pelan ini akan menggabungkan inisiatif pembangunan daripada sektor awam dan swasta bagi menyokong agenda pertumbuhan masa depan Selangor.
“Di bawah RS-2, kita akan mengamalkan pendekatan hibrid yang bukan sahaja melibatkan program kerajaan, projek kerajaan dan GLC, malah syarikat swasta seperti Chery serta syarikat lain yang bersedia menyertai atau menyelaraskan perancangan mereka bersama kerajaan negeri,” katanya.








