Bendung risiko penjajahan AI, Selangor perkasa modal insan, reformasi sektor pendidikan

7 Ogos 2026, 9:05 AM
Bendung risiko penjajahan AI, Selangor perkasa modal insan, reformasi sektor pendidikan
Bendung risiko penjajahan AI, Selangor perkasa modal insan, reformasi sektor pendidikan

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri  mengorak langkah berani untuk menghalang ancaman penjajahan Kecerdasan Buatan (AI) menerusi pengukuhan kemahiran tenaga kerja dan pembelajaran sepanjang hayat.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan AI membuka pelbagai peluang baharu, namun pada masa sama berpotensi menjejaskan sebahagian pekerjaan.

Katanya, misi keempat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memfokuskan pembangunan modal insan produktif dan inklusif itu penting bagi memastikan rakyat Selangor mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta kekal berdaya saing.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan dokumen RS-2 selepas pembentangan RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini. Foto KHAIRUL HELMY /MEDIA SELANGOR

 "Di Selangor, kita mahu mengelak 'AI Imperialism' di mana hanya satu atau dua negara yang mempunyai kemahiran dalam bidang baharu sementara rakyat lain menjadi penyumbang kepada sistem feudal baharu ini.

"Keadaan ini mendesak Kerajaan Negeri untuk lebih aktif mencari ruang serta peluang berasaskan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

"Ini kerana perubahan pesat teknologi dan ekonomi, budaya tangkas serta kemampuan beradaptasi amat penting supaya jurang pendapatan dalam kalangan rakyat tidak melebar," katanya ketika membentang RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.

Pelajar Kolej Komuniti Selayang dalam bidang Sijil Rekabentuk Dalaman sedang berkongsi idea sesaman mereka ketika laporan khas TVET di Kolej Komunii Selayang pada 14 November 2025.Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR

Sementara, menerusi misi keempat juga, Kerajaan Negeri akan memperkemas kerangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).

"Langkah itu akan dilaksanakan menerusi cadangan Pemerbadanan TVET bagi mengelakkan pertindihan tawaran latihan di pasaran serta memastikan sistem TVET negeri memenuhi keperluan industri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata peranan universiti akan dipertingkat menerusi penubuhanMajlis Jaringan Universiti Selangor (SUNC) merangkumi institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Langkah berkenaan turut merangkumi usaha merealisasikan hasrat Universiti Selangor (UNISEL) untuk beralih sepenuhnya sebagai Universiti Industri yang sepadan dengan keperluan pasaran semasa dan masa depan," katanya.

RS-2 merupakan kerangka pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif.

Amirudin berkata rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang antara daerah serta meningkatkan kualiti hidup rakyat berteraskan kehidupan wajar dan bermaruah. 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.