SHAH ALAM, 25 JUN: Sebanyak 190 tindakan penguatkuasaan direkodkan terhadap taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh negara sepanjang 2025, termasuk 43 taska tidak berdaftar, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata tindakan itu membabitkan 147 taska berdaftar dan dilaksanakan menerusi pemeriksaan berkala serta pemeriksaan mengejut oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan semua standard minimum yang ditetapkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dipatuhi.
Nancy berkata KPWKM sentiasa mengambil inisiatif berterusan bagi mengurangkan risiko kecuaian, pengabaian dan penderaan kanak-kanak di taska.
Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah penguatkuasaan Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan Lak dan Perintah Penutupan ke atas Taska serta pusat jagaan yang disiasat polis sejak 2023, bagi membolehkan tindakan segera diambil terutama dalam kes penderaan, pengabaian atau perbuatan yang membahayakan kanak-kanak.
"Usaha ini bagi memastikan tindakan yang diambil lebih efektif dan proaktif dalam melindungi kumpulan sasar kementerian, terutamanya kanak-kanak," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Nancy menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (Sri Aman) mengenai keberkesanan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan kerajaan susulan peningkatan kes penderaan kanak-kanak di taska serta kes buli di sekolah.
Nancy berkata KPWKM turut memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di Taska Berdaftar yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024, termasuk memberi penekanan terhadap aspek keselamatan seperti keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Selain itu, beliau berkata semua taska berdaftar diwajibkan mempamerkan plak pendaftaran berkod QR bermula 10 Januari 2025 bagi memudahkan ibu bapa menyemak status pendaftaran sesebuah taska dengan JKM.
"Plak ini mempunyai QR Code yang boleh diimbas untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pendaftaran TASKA tersebut dengan JKM," katanya.
Menurut Nancy, KPWKM juga mengaktifkan peranan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK), melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak serta menyediakan Talian Kasih 15999 bagi membolehkan orang ramai melaporkan kes penderaan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat pelbagai faktor di luar kawalan seperti faktor individu dan tekanan emosi yang boleh menyumbang kepada berlakunya kes di taska.
"KPWKM akan sentiasa meningkatkan usaha serta menambah baik segala aspek yang diperlukan bagi mengelakkan isu ini daripada terus berlaku," katanya.







